Ketua jurulatih skuad harimau malaya, Kim Pan-gon menjadikan aksi persahabatan antarabangsa menentang Kemboja bermula malam ini sebagai medan untuk menguji muka baharu sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Antara muka baharu yang menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya kali ini ialah dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero dan beberapa pemain tempatan seperti David Rowley, Shamie Iszuan, Aliff Izwan, Fazly Mazlan, Stuart Wilkin dan Norhakim Hassan.

Kim Pan-gon mahu menjalankan ‘eksperimen’ bagi menilai sama ada pemain ini benar-benar bersedia ataupun tidak dalam perlawanan kompetitif di pentas antarabangsa.

“Kami telah bekerja keras sejak hari isnin dan banyak berkongsi maklumat mengenai model permainan kita dan juga perancangan taktikal kepada muka baharu ini.

“Setakat ini, saya berpuas hati. Mereka banyak meningkat setiap hari. Saya mahu lihat sama ada mereka serasi dengan taktikal dan sistem kita untuk AFF. Perlawanan ini bagus untuk kami lihat mereka sudah bersedia atau tidak.

“Kami mahu pemain ini lebih dinamik, progresif dan menguasai bola tak kiralah mana-mana pemain yang masuk sekalipun.

“Apa yang penting adalah konsistensi dan kita tidak meletakkan sebarang tekanan. Nikmati sahaja perlawanan ini dan tunjukkan apa yang mereka ada,” katanya.

Kim Pan-gon

Jumlah pemain yang berada dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya ketika ini ialah seramai 28 pemain termasuk Dion Cools yang akan melapor diri pada 16 Disember ini.

Selepas menentang Kemboja di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, mereka akan menentang Maldives bagi aksi persahabatan kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya Kim Pan-gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain yang dibawa ke Piala AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.