Malaysia Football League (MFL) hari ini telah memperkenalkan perubahan membabitkan waktu sepak mula saingan Liga Malaysia musim 2023 yang memberikan suasana baharu kepada bola sepak tempatan.

Langkah MFL untuk memperkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu lebih awal pada sebelah petang adalah untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta memujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik.

Waktu sepak mula untuk pasukan dari semenanjung akan bermula pada pukul 5.15 petang/5.30 petang dan 4.30 petang/4.45 petang bagi pasukan dari sabah dan sarawak. Perlawanan pada sebelah petang kebiasaanya akan berlangsung pada hari sabtu dan ahad.

Aksi pada sebelah petang akan memberi peluang kepada para penyokong bersama ahli keluarga meluangkan masa menyaksikan perlawanan bola sepak pada hujung minggu.

Selain memberi peluang buat penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium di waktu siang yang lebih panjang berbanding malam, ia juga dapat memberi pilihan waktu siaran langsung yang lebih pelbagai.

Terdapat juga perlawanan yang berlangsung pada waktu malam seperti musim lepas iaitu pada pukul 8.15 malam / 9.00 malam (semenanjung) dan 7.15 malam / 8.15 malam (sabah & sarawak).

Walau bagaimanapun, perubahan waktu sepak mula perlawanan juga adalah tertakluk kepada penyiar rasmi dan MFL. Pada bulan ramadhan, semua perlawanan di semenangjung tanah air akan bermula pada pukul 10.00 malam dan 9.15 malam untuk pasuakn dari Sabah & Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sudah mengkaji keberkesanan waktu sepak mula pada sebelah petang supaya tidak menggangu waktu maghrib.

“MFL mengkaji pengenalan sepak mula yang lebih awal dengan mengambil kira waktu Maghrib yang lebih awal terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah salah satu langkah kecil yang diambil selepas pengenalan sepak mula lebih awal yang diperkenalkan bermula musim lalu meskipun pada mulanya mendapat sedikit tentangan.

“Langkah ini memberikan lebih banyak akses kepada pasukan dan ia memberi lebih banyak kesan positif daripada negatif. Jadi kita harap semua pihak menerima perubahan profesional yang kita mahukan,” katanya.