Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sedia mempertimbangkan cadangan sepak mula Liga Malaysia pada waktu petang jika ia dilihat mampu memberikan perkembangan positif kepada arena bola sepak tempatan.

Minggu lalu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ)  meluahkan pandangan dalam sesi bersama peminat mengenai aksi pada waktu petang. Beliau berkata demikian kerana menyukai suasana dalam saingan AFC Champions League (ACL) ketika menentang Ulsan Hyundai pada pukul 5 petang.

“Saya tiada kuasa berkenaan hal itu, itu keputusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk menentukan itu (beraksi di waktu siang).

“Kalau ikut saya…saya suka perlawanan waktu petang, kalau ikut hati saya ikut macam di ACL (Liga Juara-Juara Asia) kerana saya rasa macam di Eropah (suasana).

“Saya rasa mungkin hak penyiaran TV punya permintaan, memaksa MFL untuk ambil inisiatif itu (aksi waktu malam),” kata TMJ.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan cadangan tersebut perlu dikaji terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

“MFL sentiasa melihat dan menerima sesuatu cadangan ke arah yang cukup positif. Musim ini kita dapat melihat sepak mula di sebelah petang diadakan dalam aksi Liga Juara Juara Asia (ACL) di Johor Bahru sebelum ini.

“Jelas kita dapat saksikan di mana tempoh waktu di negeri Johor boleh dikatakan amat sesuai untuk bermain di sebelah petang.

“Jika dilihat daripada aspek komersial, cadangan Tunku Ismail itu akan melihat sepak mula di sebelah petang memberikan dinamik baharu kepada bola sepak tempatan di mana penyokong bersama ahli keluarga dapat menikmati perlawanan bola sepak pada hujung minggu.

“Namun sekretariat MFL harus mengkaji perkara ini dari semua sudut dengan lebih teliti sebelum dicadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah pada masa akan datang,” kata Stuart dipetik dalam Berita Harian. 

Katanya, selain memberi peluang buat penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium di waktu siang yang lebih panjang berbanding malam, ia juga dapat memberi pilihan waktu siaran langsung yang lebih pelbagai.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah

Ifedayo ‘Tibai’ Selangor 2-0 Selepas Pulih Daripada Kecederaan Hamstring

Aksi Faisal Halim ‘Menganjing’ Penjaga Gol Sri Pahang Curi Tumpuan

Hujan Lebat Landa Aksi Terengganu – Negeri Sembilan, Penyokong Sempat Mandi Dalam ‘Kolam’

JDT Bakal Menerima Pelaburan Bernilai 8 Juta Euro Dalam Tempoh Tiga Tahun

Sergio Aguero Dan Lee Tuck Tidak Dapat Didaftarkan Sebagai Pemain Tempatan