Sempena Hari Malaysia, pemain Sri Pahang, Sergio Aguero hari ini menyatakan bahawa dia kini memiliki status warganegara Malaysia secara sah.

Follow VOCKET di Telegram untuk isu isu viral terkini
Artikel Berkaitan:

Perkara itu diumumkan oleh pemain kelahiran Argentina tersebut melalui laman Instagram miliknya, dengan menjelaskan bahawa dia sangat berbangga menjadi rakyat negara ini.

“Ia satu penghormatan untuk saya menjadi rakyat Malaysia. Saya di sini kerana sokongan orang di sekeliling saya, tanpa mereka, saya tidak akan berada di tempat saya berada.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah kerana membantu proses ini.

“Dan juga terima kasih kepada Pengerusi Sri Pahang, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah, CEO of Sri Pahang FC Dato Mohammed Suffian Awang, isteri saya Evangelina serta anak-anak, Valentino & Milan, ejen Syed, staff Sri Pahang FC dan semua penyokong di luar sana.

“Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya serta keluarga dan saya berhasrat untuk tinggal lama di sini. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga.

“Tiada perkataan bagi menggambarkan betapa gembiranya saya dan tidak sabar untuk menyarung jersi emas dan biru dalam Piala Malaysia,” jelas Aguero.

Aguero yang berusia 28 tahun telah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun 2017. Selain Aguero, Sri Pahang turut naturalisasikan pemain kelahiran England, Lee Tuck bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan itu.

Malaysian Football League (MFL) minggu lalu mengumumkan bahawa rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan dua pemain naturalisasi iaitu Lee Tuck (England) dan Sergio Aguero (Argentina) sebagai pemain tempatan telah diluluskan.

Keputusan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang meluluskan rayuan Sri Pahang FC untuk mendaftarkan pemain naturalisasi Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022.

Bagaimanapun, mereka tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Super musim ini kerana pendaftaran kedua-dua pemain tersebut akan berkuatkuasa pada pertandingan Piala Malaysia 2022.