Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Hassan Sazali Waras mengakui jentera pertahanan merupakan aspek yang merisaukannya meskipun skuad kendaliannya berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun (B-19) 2022.

Kemenangan 4-3 bertemu Timor Leste semalam sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan Malaysia buat edisi ketiga berturut-turut mara ke pusingan seterusnya.

Namun sekiranya melihatkan kepada aksi yang ditampilkan barisan pemain pertahanan negara pada perlawanan di Stadion Madya tersebut, Hassan sudah pasti mempunyai alasan kukuh untuk gusar dengan keadaan tersebut.

Satu keadaan sudah semestinya perlu diperbaiki oleh anak buahnya kerana menanti mereka di separuh akhir merupakan pasukan dengan kualiti menyerang yang cukup prolifik iaitu Vietnam, Thailand atau Indonesia.

“Alhamdulillah kita mencapai kemenangan seperti mana yang kita sasarkan dan dengan kemenangan ini kita secara langsungnya telah layak ke separuh akhir walaupun kita masih lagi satu perlawanan yang terakhir dalam kumpulan berdepan Laos pada 11 Julai,” ujar Hassan Sazali bercakap selepas tamat perlawanan semalam.

Kredit Foto: FAM

“Pemain-pemain nampak lebih berkeyakinan dengan apa yang kita telah lihat daripada ‘post mortem’ perlawanan sebelumnya sewaktu menentang Singapura.”

“Jadi, pada perlawanan ini mereka telah menunjukkan semangat dan juga positiviti sehingga kita berjaya mencapai kemenangan pada hari ini [malam tadi].”

“Dalam perlawanan hari ini bukan hanya sekadar Malaysia yang ingin mencari kemenangan tetapi Timor Leste mereka juga ingin mencari kemenangan bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir.”

“Jadi, memang agak tegang pada perlawanan ini dimana apa yang merisaukan saya sekarang adalah barisan pertahanan kita. Walaupun kita berjaya menjaringkan gol pada satu ketika tetapi kita masih bolos dengan cepat,” tambah Hassan Sazali lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan AFF B-19 melalui pautan dibawah.

AFF B-19 2022: Lepasi Cabaran Getir Timor Leste, Malaysia Mara Ke Separuh Akhir

AFF B-19: Ketumpulan Penyudah Paksa Malaysia, Singapura Kongsi Mata

AFF B-19: Malaysia Bermula Dengan Kemenangan, Atasi Kemboja