Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun (B-19) selepas berjaya menundukkan Timor Leste 4-3 pada aksi ketiga kumpulan B yang berlangsung di Stadio Madya, Senayan, Jakarta sebentar tadi.

Kemaraan ke pusingan seterusnya itu hadir tepat pada masanya dimana skuad kendalian Hassan Sazali Waras pada ketika ini dikritik hebat peminat bola sepak tempatan berikutan aksi longgar yang ditampilkan pada dua perlawanan awal bertemu Kemboja dan Singapura.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah selepas Timor Leste tiga kaliĀ  bangkit merapatkan defisit jaringan menerusi serangan balas pantas dilancarkan.

Malah, skuad muda negara terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain pada 20 minit terakhir susulan kad merah yang dilayangkan kepada ketua pasukan, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri.

Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal yang tidak diturunkan pada perlawanan bertemu Singapura tempoh hari menggembirakan kem negara dengan membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan.

Berpunca daripada sepakan percuma Muhammad Aliff Izwan Yuslan yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Timor Leste, Filonito Nogueira disambar dengan pantas Najmuddin untuk meletakkan skuad negara dihadapan.

Namun, kegembiraan itu hanya mampu bertahan selama dua minit apabila Timor Leste kembali menyamakan kedudukan menerusi Cristevao Monis Fernandes dari luar kawasan penalti selepas beliau menerima ‘cutback’ daripada Luis Figo.

Kredit Foto: FAM

Kedudukan terus berubah berselang empat minit kemudian selepas Adam Farhan Mohd Faizal yang bijak membaca lorongan cantik daripada Aliff Izwan dalam kawasan penalti kembali memberikan kelebihan buat skuad negara.

Malaysia melebarkan kedudukan pada minit ke-52 selepas hantaran cantik daripada Ahmad Aysar Hadi terus mencari Aliff Izwan yang melepasi kawalan dua pertahanan Timor Leste lalu melakukan percubaan lambung untuk menewaskan Filonito.

Situasi seperti di babak berulang apabila Timor Leste memerlukan tiga minit sahaja untuk merapatkan jurang gol menerusi ketenangan penyudah Mario Donasio Quintao dalam kawasan penalti bagi menjadikan kedudukan 3-2.

Memasuki minit ke-62, Adam Farhan berjaya meledakkan jaringan kedua peribadinya dengan rembatan rendah dalam kawasan penalti selepas beliau menerima hantaran jauh daripada rakan sepasukannya.

Ketika skuad negara bermain dengan 10 pemain, Timor Leste menggunakan kelebihan tersebut dengan menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-76 hasil jaringan ketika situasi sepakan penjuru yang disempurnakan oleh Revalino Do Martins.

Tekanan berterusan dijelmakan Timor Leste selepas itu diserap dengan baik barisan pemain negara untuk mengesahkan kemenangan berharga yang sekali gus membawa skuad negara ke separuh akhir.