Kesilapan penjaga gol pada masa kecederaan menafikan peluang Ulsan Hyundai untuk meraih kemenangan apabila terikat 1-1 bertemu Kawasaki Frontale pada aksi sulung saingan kumpulan I Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) 2022 zon Asia Timur yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Turun selaku pendahulu saingan liga domestik di negara masing-masing turut menjadi antara tarikan perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan ini yang nyata tidaklah terlalu menghampakan para penyokong.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan kelibat tonggak utama skuad kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin tidak kesampaian apabila beliau tidak disenaraikan pada perlawanan ini.

Eom Won-sang terlebih dahulu menguji gawang Kawasaki Frontale seawal minit kesembilan menerusi rembatan leret dari luar kawasan penalti, namun percubaan tersebut sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Kredit Foto: AFC Champions League

Berselang tujuh minit kemudian, giliran Marcinho pula memberikan ancaman ke kubu Ulsan Hyundai tetapi rembatannya dalam kawasan penalti selepas beliau melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti mudah dinafikan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.

Leonardo Nascimento Lopes de Souza memberikan kelebihan buat juara edisi 2020 itu pada minit ke-21 selepas beliau yang mendapat umpanan jarak jauh daripada Park Yong-uh berjaya melepasi kawalan pertahanan lalu menewaskan Jung Sung Ryong di gawang Kawasaki Frontale.

Corak permainan lebih tersusun ditampilkan barisan pemain Kawasaki Frontale ketika aksi memasuki babak kedua dengan tekanan hebat diberikan dalam usaha memburu jaringan penyamaan.

Ketika Hyeon-woo begitu tangkas menghalang gawangnya daripada dibolosi dengan empat aksi menyelamat yang cemerlang ditampilkan, ia berubah menjadi mimpi ngeri pada minit ke-94.

Hal ini kerana kegagalannya untuk menangkap kemas bola ketika situasi sepakan penjuru telah memberikan ruang buat pemain gantian, Shintaru Kurumaya untuk menolak masuk bola sekali gus untuk memastikan perlawanan berkesudahan terikat 1-1.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

ACL 2022: Farizal Marlias Belum Pasti Diturunkan Berdepan Guangzhou FC

Masih Gagal Selesaikan Tunggakan Gaji, Perak Dipotong Enam Mata Lagi

UEL: Eintracht Frankfurt Singkir Barcelona Di Nou Camp