Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Dua jaringan penalti daripada Junior Negrao telah memastikan kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai dinobatkan sebagai juara AFC Champions League (ACL) 2020 apabila menewaskan kelab Iran iaitu Persepolis dengan jaringan 2-1 di Stadium Al Janoub, Qatar.

Skuad kendalian Kim Do-Hoon itu mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah sejak di peringkat kumpulan. Ini adalah kejuaraan kali kedua Ulsan Hyundai dalam saingan ACL kerana mereka pernah menjuarai kejohanan yang sama pada tahun 2012.

Dalam perlawanan semalam, Persepolis terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke 44 melalui rembatan Mehdi Abdi selepas memperdaya benteng pertahanan lawan.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Ulsan Hyundai untuk terus mengandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila pengadil perlawanan, Abdulrahman Ibrahim memberikan sepakan penalti selepas meneliti rakaman Sistem Bantuan Pengadil (VAR).

var

Rakaman VAR menunjukkan pemain Persepolis melakukan kesalahan dengan mengasari pemain Ulsan Hyundai dalam kawasan kotak penalti. FOTO: AFC

Pada mulanya, Junior Negrao gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut namun beliau sempat merembat masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Persepolis untuk jaringan penyamaan pada minit ke 46

Memasuki separuh masa kedua, Ulsan Hyundai mula menguasai perlawanan dan kerap memberi masalah kepada benteng pertahanan Persepolis.

Pengadil sekali lagi terpaksa menggunakan bantuan VAR pada minit ke 52 apabila pemain Persepolis didakwa menggunakan tangan untuk menampan bola dalam kawasan kotak penalti.

Situasi itu memihak kepada Ulsan Hyundai sekaligus memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Negrao pada minit ke 54.

Persepolis cuba bangkit mencari jaringan penyamaan namun jelas sekali terdapat perbezaan dari segi kecergasan sehingga menyukarkan mereka untuk pamerkan aksi terbaik kerana kelab Iran itu berehat agak lama selepas tamat saingan ACL peringkat zon Asia Barat.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan ini adalah kali pertama dalam sejarah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menganjurkan perlawanan ACL secara karnival disebabkan oleh penularan wabak pandemik COVID-19.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

PSSI Atur Perlawanan Persahabatan Menentang Barcelona Untuk Skuad Indonesia B-19

Bert Van Marwijk Kembali Dilantik Sebagai Pengendali UAE

Theerathon Bunmathan Mahu Kekal Beraksi Di J. League

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group