Ketenangan dipamerkan Zubir Ibrahim ketika mengemudi gawang Terengganu serta gaya rambut ‘ekor’ yang cukup sinonim dengan dirinya pasti menjadi antara perkara utama bermain di minda penyokong bola sepak tanah air sekiranya ditanya tentang bekas penjaga gol ini.

Sepakan dengan gaya ‘drop kick’ seringkali dilakukan oleh Zubir juga akan terus diingati oleh para peminat terutamanya para penyokong Terengganu.

Mula beraksi bersama skuad utama pada tahun 1988, Zubir telah mencurahkan segalanya buat skuad ‘Penyu’ sehingga menjadikan beliau sebaris dengan legenda Terengganu yang lain.

Sebagai seorang penjaga gol dengan pakej ketangkasan dan ketenangan yang tinggi, Zubir juga dilihat begitu ‘vokal’ dalam memberikan arahan kepada rakan sepasukan terutamanya di jentera pertahanan supaya lebih bersedia dalam menanti asakan lawan.

Selain itu, jarang juga untuk kita melihat anak kelahiran Kampung Gong Datuk Mengabang Telipot, Kuala Terengganu yang sentiasa memakai seluar panjang ketika beraksi itu melakukan kesilapan mudah di atas padang.

Karier Zubir sebagai pemain bola sepak bermula pada tahun 1984 apabila beliau menyarung jersi Sungai Tong FC yang beraksi dalam saingan Liga Negeri Terengganu.

Ketangkasannya telah merintis peluang buat Zubir untuk mewakili negeri kelahirannya itu dalam kempen Piala Razak pada tahun 1985 dan setahun kemudian, beliau diserapkan ke skuad Piala Presiden dan Piala Emas Raja-Raja Terengganu.

Terengganu
Zubir bersama skuad Terengganu 2001.

Beliau pernah meninggalkan Terengganu selama dua musim untuk beraksi bersama Telekom Malaysia yang juga merupakan majikannya [bekerja sebagai kerani].

Kembalinya semula beliau menyarung jersi Terengganu pada tahun 1998 secara tidak langsung telah melakarkan kisah indah beliau bersama pasukan tersebut.

Meskipun Terengganu bukanlah sebuah pasukan yang kaya dengan kejuaraan tetapi Zubir menjadi sebahagian daripada sejarah dimana membantu pasukan tersebut menjuarai satu-satunya kejuaraan Piala Malaysia apabila menundukkan Perak pada musim 2001.

Dibolosi pada minit ke-16 menerusi jaringan menarik penyerang pinjaman pada ketika itu, Rafdi Rashid, Zubir kembali bangkit dengan aksi lebih bertenaga untuk menghalang jentera serangan Perak daripada menambah jaringan.

Dua jaringan dalam jarak masa empat minit menerusi Rosdi Talib dan Sapian Wahid telah menjadikan malam 3 November 2001 itu sebagai kenangan indah buat bola sepak Terengganu.

Kejayaan itu hadir setahun selepas Terengganu turut muncul juara buat pertama kali dalam saingan Piala FA selepas menundukkan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan menerusi penentuan sepakan penalti 4-3.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Zubir Ibrahim dan rakan-rakannya pada ketika itu merupakan kebanggaan buat bola sepak Terengganu sehingga ke hari ini.

Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Zubir mendedahkan bahawa bekas tonggak import Johor, Abbas Saad serta trio tempatan, Hashim Mustapha, Dollah Salleh dan Azman Adnan merupakan antara pemain penyerang yang berbahaya pernah dihadapinya.

Seperti pemain-pemain legenda lain, Zubir yang bertindak selaku jurulatih penjaga gol skud Terengganu FC III pada musim lalu berpendapat disiplin tinggi serta pengorbanan amat dituntut dalam diri seorang pemain bola sepak profesional, selain daripada perlu menganggap dan menerima kritikan penyokong itu sebagai perkara positif dalam memajukan diri dan karier.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Mengimbau Saat Park Ji-sung Jadi Igauan Ngeri Buat Andrea Pirlo

RASMI: Stefan Nikolic Isi Kuota Pemain Import Kelima Melaka United

Dua Syarikat Tempatan Tak Jadi Ambil Alih Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman