Penyerang Real Madrid, Luka Jovic dilaporkan hanya selangkah lagi untuk bergabung semula dengan kelab lamanya Eintracht Frankfurt.

Namun, anehnya apabila Zinedine Zidane mengakui bahawa dia tidak tahu menahu pun mengenai perkara ini.

Jovic menyertai Los Blancos dari kelab Jerman pada musim panas 2019 dengan harga €60 juta. Harapan tinggi diletakkan kepada Jovic yang ketika itu dianggap pengganti kepada Benzema dan diharap dapat menjaringkan 20 gol semusim.

Malangnya beliau gagal melakukannya. Malah Benzema terus menggila di hadapan gol dan musim lalu Benzema menikmati musim terbaiknya secara individu di Real Madrid dengan membantu kelab itu menjuarai La Liga.

Menghalang Barcelona daripada menjuarainya sekali lagi.

Penampilan Jovic di Santiago Bernabeu sangat menghampakan. Penyerang berusia 23 tahun itu hanya mampu menjaringkan dua gol dalam 32 perlawanan beliau.

Musim ini, Jovic semakin terpinggir di bawah kendalian Zidane. Pemain Serbia itu hanya muncul lima kali dan gagal menjaringkan gol. Beliau sentiasa disenaraikan dalam pasukan utama namun pada hari perlawanan beliau kerap menjadi pemain simpanan.

Menurut laporan, Jovic akan segera meninggalkan Madrid. Dia akan kembali ke kelab lamanya Eintracht Frankfurt secara pinjaman dengan pilihan untuk pembelian tetap pada akhir musim.

Namun menerusi laman rasmi kelab Zidane menyatakan beliau tidak tahu menahu akan perkara itu.

“Dia bersama kami. Dia tidak ada di sini kerana dia cedera tetapi dia bersama kami. Saya belum diberitahu apa-apa dan kami akan melihat apa yang berlaku,” tegas Zidane kepada laman rasmi kelab.

Zidane juga menyatakan bahawa beliau masih yakin dengan Jovic. Cuma situasinya ketika ini pemain itu berdepan dengan masalah untuk menyesuaikan diri.

“Dia adalah penyerang yang menjaringkan banyak gol dan itulah yang kami mahu dia lakukan,” sambungnya.

“Dia berusia 21 tahun ketika dia tiba di sini. Dia sangat muda. Agak kurang bernasib baik kerana dia juga mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dan mengalami kecederaan, tetapi dia harus banyak belajar dan dia akan melakukannya.”

“Dia akan selalu menunjukkan kualitinya. Saya tidak ragu mengenai hal itu.”

Baca juga perkembangan lain

DFB Pokal: Skuad Serba Bintang Bayern Disingkirkan Pasukan Bawahan

TERKINI: Hutang Barcelona Hampir €1 Billion, Gaji Januari Tertunggak Termasuk €37 Juta Gaji Messi

Ole: ‘Masa Tepat Untuk Menentang Liverpool Di Anfield’

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group