Pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya mengakui dirinya masih mencari rentak prestasinya selepas pulih daripada kecederaan tumit.

Baginya, walaupun sudah bermain dua perlawanan menentang PDRM FC dan Kedah FC sebelum ini namun kondisi dirinya masih belum berada pada tahap terbaik.

“Sekarang saya masih mencari kecergasan untuk bermain semula dan ambil masa untuk menjadi lebih baik,” ujar Zhafri menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Malaysian Football League (MFL).

“Setiap pemain pasti akan rasa kurang keyakinan jika alami kecederaan. Tetapi itulah risiko sebagai seorang pemain, kita tidak boleh buat apa-apa.”

Zhafri Yahya dalam pada itu turut menjelaskan bahawa tempoh rehat liga ketika ini digunakan sepenuhnya untuk beliau membuat persediaan rapi bagi menghadapi aksi seterusnya menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 14 Mei ini.

“Pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan pun ramai yang sudah kembali bersama pasukan semula dan ikutkan kami sudah bersedia untuk menempuh perlawanan selepas ini.

“Sekarang ini adalah waktu untuk ‘Coach’ Bojan Hodak meletakkan pemain-pemain terbaik untuk melawan Negeri Sembilan”, katanya.

Zhafri telah melakukan lima penampilan pada musim ini, termasuk tiga kali sebagai pemain simpanan.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan Liga Super 2023, KL City berada di tangga keenam dengan 15 mata hasil empat kemenangan, tiga keputusan seri dan dua kekalahan.