Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan kelibat tonggak KL City, Zhafri Yahya bersama skuad kebangsaan akhirnya tercapai apabila pemain itu dipanggil ke kem latihan pusat dibawah kendalian Kim Pan-gon hari ini.

Menurut kenyataan rasmi daripada FAM, nama Zhafri sebelum ini berada dalam senarai menunggu dan beliau dipilih menggantikan tempat penyerang PJ City, Darren Lok yang terpaksa digugurkan kerana disahkan positif COVID-19.

“Darren hadir melapor diri semalam, tetapi didapati positif selepas ujian RTK yang dibuat ketika pemain melapor diri dan disahkan sekali lagi menerusi ujian PCR yang keputusannya diperoleh, pagi ini.

“Walaupun Darren berposisi penyerang, Zhafri disenaraikan untuk membolehkan panel jurulatih meninjau kemampuannya menyusun gerak dari penjuru bahagian tengah,” tulis kenyataan rasmi FAM.

Zhafri memainkan watak utama dalam kejayaan KL City musim lalu. Namun begitu, beliau tidak dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan bagi saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang dilangsungkan pada Disember 2021 hingga Januari 2022.

Skuad Harimau Malaya turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari bermula Isnin, 14 Mac 2022 sebelum dijadual berlepas ke Singapura pada 22 Mac 2022.

Pemain berpengalaman, Safiq Rahim turut disenaraikan bersama dua pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi. Antara muka baharu yang menyertai skuad kali ini ialah Khair Jones, Sharul Nazeem, Rahadiazli Rahalim, Ramadhan Saifullah, Hakimi Abdullah dan Khuzaimie Piee.

Menurut ketua jurulatih, Kim Pan Gon, pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi semasa Liga Malaysia dan maklumat tambahan kepada statistik lepas serta jumlah minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari tahun 2019 hingga 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Rizal Ghazali Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan, Khuzaimie Piee Ganti Syahmi Safari

Kim Pan-gon Minta Semua Pihak Bersabar

RASMI: Elavarasan Jadi Pilihan Kim Pan Gon Sebagai Penolong Jurulatih

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya

Tengku Amir Harap Skuad Harimau Malaya Raih Banyak Kejayaan Dibawah Kendalian Kim Pan-gon