Kelab Liga Premier Rusia, FC Zenit berjaya menewaskan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 3-0 dalam aksi pra musim yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Tiga gol pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada kelab itu manakala JDT mengalami kekalahan kali kedua dalam aksi pra musim kali ini.

Selepas perlawanan, menerusi laman media sosial TikTok pasukan, Zenit ‘mengusik’ salah seorang pemain lawan iaitu Safiq Rahim selepas pemain itu gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86.

https://www.tiktok.com/@zenitfc/video/7197078150138973442?_r=1&_t=8ZfRLvvBPJi

Pada aksi yang berlangsung di di Stadium Maktoum Bin Rashid Al Maktoum, Zenit terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 10 menerusi rembatan Rodrigao selepas menerima hantaran lintang daripada Danil Krugovoy.

Lima minit kemudian, bekas pemain B-23 Brazil, Malcom menambah gol kedua untuk Zenit apabila rembatan lencongnya dalam kawasan kotak penalti mudah menewaskan penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.

Pada minit ke-31, pendahulu Liga Premier Rusia itu memperolehi gol ketiga menerusi Daniela Kozlov yang tidak dikawal sekaligus menyudahkan hantaran lintang cantik dari sebelah kiri dalam situasi kelam kabut.

Peluang terbaik skuad Harimau Selatan hadir pada minit ke 32 tetapi hantaran lintang Matthew Davies gagal dimanfaatkan oleh Diogo Luis Santo. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh JDT namun mereka beraksi lebih baik di separuh masa kedua. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad Harimau Selatan akan pulang ke tanah air untuk membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2023 bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari 2023.