Ketua pasukan Negeri Sembilan, Zaquan Adha berkemungkinan terlepas baki saingan Liga Super musim ini selepas mengalami kecederaan serius ketika menentang Selangor minggu lalu.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Syifa Nasir dimana Zaquan dilaporkan mengalami kecederaan lutut yang serius dan pemain itu memerlukan rehat yang panjang untuk proses pemulihan.

Zaquan Adha
Sumber Gambar: Syifa Nasir

Selepas dimasukkan pada separuh masa kedua, Zaquan diletakkan di posisi sayap kanan oleh ketua jurulatih pasukan, K.Devan bagi menghidupkan bahagian serangan selepas ketinggalan 2-1.

Zaquan bertembung dengan pemain pertahanan lawan, Fazly Mazlan dan bekas ketua pasukan skuad kebangsaan itu terus jatuh dan mengalami kesakitan melampau.

Selepas mendapat rawatan dari staf perubatan, Zaquan Adha tidak dapat meneruskan permainan dan beliau terpaksa dikeluarkan.

Selepas tewas kepada Selangor, Devan menegaskan kekurangan pemain import antara faktor yang menyebabkan kualiti permainan Negeri Sembilan gagal untuk menyaingi Selangor.

“Ya, sememangnya begitu dirasai ketiadaan pemain import ini menjejaskan prestasi pasukan terutamanya apabila dibandingkan prestasi Negeri Sembilan dengan pasukan seperti Selangor dan Kedah yang dianggap pasukan top, kita tidak miliki kualiti untuk bersaing dari aspek pemain import,” katanya.

Devan turut menyatakan pasukannya memerlukan bilangan pemain import yang sama dengan pasukan lain dalam saingan Liga Super untuk memberi saingan.

“Semangat sahaja tidak cukup untuk cipta kejayaan, hari ini (malam tadi) pemain Negeri Sembilan ada semangat tapi kualiti iaitu sumbangan daripada pemain import?,” tambahnya.