Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham memberi bayangan pasukannya bakal meminjam pemain daripada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekiranya mendapat perkenan pemilik kelab itu, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Zamsaham bertanya kepada peminat TRW Kelantan mengenai pemain JDT mana yang sesuai untuk beraksi bersama kelab Pantai Timur itu.

Rata-rata daripada peminat mahu Zamsaham untuk membawa masuk pemain di posisi penjaga gol dan pertahanan kerana dua posisi itu perlu diperbaiki dengan segera.

Antara pemain yang boleh dibawa masuk ialah Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan, S.Kunanlan dan Haziq Nadzli dimana pemain ini jarang mendapat minit bermain bersama JDT dalam saingan liga domestik.

Sebelum ini, Zamsaham berjumpa dengan TMJ selepas isu antara beliau dan bekas ketua jurulatih pasukan, Choi Moon-sik yang dipecat ekoran prestasi kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Super.

“Maka, selepas berjumpa dengan DYMM TMJ, saya dapat semangat baru ,inspirasi untuk saya teruskan menerajui kelab ini dan buat yang terbaik. Mungkin tak sekelip mata tapi berperingkat dan berfasa.

“Kepada yang berikan takiran yang boleh terima akal, semangat, pandangan dan komen-komen teruskanlah. Saya tahu jika anda tak mampu nak ambil alih kelab, cinta dan sayang tetap ada melalui sokongan berterusan melalui penulisan yang matang.

“InshaAllah dengan Lafadz Bismillahirraminirrahim saya akan teruskan perjuangan di TRW Kelantan FC hingga masa yg sesuai dan ditentukan olehNya. Mudahan Allah swt memberkati usaha saya ini,” katanya.

Kelantan ketika ini menduduki tangga ke-13 dalam carta Liga Super dimana mereka hanya mampu mengutip empat mata selepas mengharungi 10 perlawanan.