Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham memberi bayangan untuk melepaskan pasukan tersebut kepada pemilik baharu yang mampu selepas pelbagai isu ‘luar padang’ hangat diperkatakan.

Menerusi kenyataannya di laman facebook, beliau telah banyak berusaha untuk memajukan pasukan itu namun merasakan masih belum cukup bagus untuk jadi pemilik.

“Berbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yg KAFA hutang RM3.8juta belum di terima lagi sesen pun.

“Banyak perancangan saya termasuk progress fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk 2.5 tahun.

“Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi owner kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yg mampu,” tulisnya di laman facebook.

Zamsaham TRW Kelantan
Sumber Gambar: Zamsaham

Beliau juga sempat menulis di ruang komen untuk menjelaskan kepada penyokong bukan senang menguruskan sebuah kelab bola sepak dan sedia memberi peluang kepada individu yang berminat.

“Saya bukan merajuk dan bukan marah.Harap takda salah faham.
Cuma terpikir nak bagi peluang untuk sesiapa merasai jadi full Ownership sebuah kelab bola.

“Uruskan sendiri baru tahu bagaimana jadi owner. Kepada yang sentiasa positif dan kritis dengan TRW,saya ucapkan berjuta terima kasih,” jelasnya.

Sebelum ini, para penyokong setia Kelantan FC menzahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super musim.

Rasa tidak puas hati mungkin wajar terutama selepas melihat prestasi pasukan yang hanya meraih satu kemenangan dan satu seri selepas mengharungi lapan perlawanan.

Malah, keadaan pasukan juga dilihat tidak begitu stabil selepas pemecatan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon Sik dan kini digantikan pula dengan pengarah teknikal, Frank Bernhardt.