Usahawan Malaysia, Norizam Tukiman atau Zamsaham menegaskan beliau masih lagi pemilik kelab Indonesia, PSPS Riau walaupun kelab tersebut dibubarkan baru-baru ini.

Menurut perkongsian beliau di laman media sosial Facebook miliknya, Zamsaham mengakui PSPS Riau mengalami pelbagai kejadian pelik terutamanya selepas pemecatan pengurus pasukan selepas beliau mengambil alih.

Salah satu kejadian yang dialami ialah ada segelintir pihak yang memburukkan namanya dengan tujuan mahu membeli saham PSPS dengan harga murah.

β€œSaya masih pemilik PSPS Riau. Staf saya masih lagi bekerja dan sering menghadiri kongres PSSI atau PT LIB. Terus terang saya katakan kelab saya banyak liku-liku pelik terutamanya selepas pemecatan pengurus besar.

β€œAda strategi yang menyerang dan memburukkan saya dengan tujuan mahu membeli saham kelab dengan harga murah. Tapi saya santai. Nak beli boleh tapi harganya kena sesuai.

β€œKalau harga sesuai, saya mungkin akan jual. Kalau tidak kena pada harga, saya akan terus kekal sebagai pemilik,” kata Zamsaham.

PSPS Riau mengumumkan mereka telah membubarkan pasukan secara rasmi selepas hanya sempat mengharungi 6 perlawanan liga pada musim 2022-23.

Difahamkan keputusan tersebut terpaksa dibuat kerana saingan Liga 2 Indonesia telah dibatalkan dan masih tiada hala tuju yang jelas sejak dihentikan pada bulan oktober tahun lepas akibat tragedi Kanjuruhan.

Malah, keputusan tersebut turut disambut baik oleh para penyokong PSPS Riau yang jelas tidak puas hati dengan prestasi pasukan itu sejak diambil alih oleh ZamSaham.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga 2, PSPS Riau telah menghuni tangga tercorot tanpa kemenangan dan hanya mengutip 1 mata selepas mengharungi 6 perlawanan.

Pada 12 Januari lepas, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan saingan Liga 2 musim 2022/23 tidak lagi berjalan disebabkan oleh beberapa faktor.

Menurut setiausaha agung PSSI, Yunus Nusi, beliau menegaskan keputusan membatalkan Liga 2 dibuat berdasarkan perbincangan dengan majoriti pemilik kelab yang tidak mahu saingan liga kembali bersambung.

Berdasarkan laporan daripada media bola sepak Indonesia, ada 20 daripada 28 kelab yang meminta untuk tidak meneruskan saingan Liga 2 musim ini.