Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham menegaskan beliau masih teringat nasihat yang diberikan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengenai pembangunan fasiliti pasukan.

Zamsaham nampaknya tidak menghiraukan segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya oleh beberapa pihak dan beliau fokus untuk menguruskan pasukan miliknya.

Menurut perkongsian di laman media sosial Facebook miliknya, Norizam menjelaskan TMJ menasihatinya untuk membangun fasiliti lengkap di bagi kegunaan pasukan.

“Saya masih teringat nasihat TMJ untuk bangunkan fasiliti training TRW di Kelantan. Saya dah lihat sendiri bagaimana kejayaan JDT yang merupakan satu-satunya pasukan yang cukup segala fasiliti. Saya jadikan JDT role model. Mudahan tercapai impian saya demi TRW Kelantan,” kata Zamsaham.

Sebelum ini, ejen kepada jurulatih dari Korea Selatan, Choi Min-sik iaitu Myeongho Jeong membuat lebih banyak pendedahan mengenai apa yang berlaku ketika jurulatih itu menjadi pengendali pasukan TRW Kelantan.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Jeong mendedahkan pihaknya sedang menyediakan dokumen untuk dihantar ke FIFA sambil menegaskan apa yang berlaku memberi kesan mendalam terhadap beliau dan Min-sik.

“Majikan selalu memaki pemain, bergaduh dengan jurulatih dan pemain di bilik persalinan. Tiada siapa tahu perkara sebenar tetapi pemain menjadi saksi. Kalau kamu tanya mereka dan Min-sik, mereka akan beritahu perkara sama.

“Setiap minggu, majikan dan pengarahnya akan terlibat dalam sesi pemilihan pemain untuk setiap perlawanan. Minggu lalu, jurulatih saya tidak memilih pemain pun. Para pemain enggan berlatih kerana sudah dua bulan tidak dibayar gaji. Majikan mengugut pemain agar turun berlatih. Tetapi gaji mereka tidak dibayar.

“Semua orang tak boleh bercakap apa saja tetapi saya ejen yang sanggup berkorban demi pemain dan jurulatih. Min-sik ialah jurulatih legenda di Korea. Bos selalu mencampak topi beliau dan membaling air serta selalu memberitahu Min-sik agar pulang ke Korea kalau Kelantan mengalami kekalahan,” katanya.