Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau yang lebih dikenali sebagai Zamsaham menggesa agar sistem Video Assistance Referee (VAR) digunakan dalam saingan Liga Malaysia bagi memperbaiki sistem pengadil dalam negara.

Ahli perniagaan itu menyuarakan hasrat beliau yang mahu membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membeli sistem tersebut sekiranya badan induk itu tidak mampu untuk membelinya.

Zamsaham
Zamsaham

“Kalau pengadil di tengah padang mengadili dua pasukan sedang bertanding, dia kena profesional. Sebab itu saya mencadangkan juga VAR, bagus benda itu, jadi apa-apa kita boleh rujuk kepada video.

“Kalau negara Eropah sudah gunakan untuk sistem pengadilan, kenapa Malaysia tak pakai. Apa benda yang susah sangat? Apakah benda itu sangat mahal?

“Jadi, saya sendiri, kalau mahal sangat tak apa, saya boleh sub, saya boleh beli sistem itu bagi kepada FAM dan mungkin saya boleh buat sedikit bisnes, ada sedikit untung,” kata Zamsaham dalam satu temu bual bersama Harimau Malaya.

Tambah Norizam, sekiranya sistem VAR digunakan maka mutu pengadilan di Malaysia boleh dipertingkatkan sekaligus industri bola sepak negara boleh bertambah maju.

Kos untuk memasang sistem VAR ini dilaporkan boleh mencecah AS$150,000 atau sekitar RM627,000, dan wang sebabyak RM7.5 juta perlu dibelanjakan untuk 12 stadium dalam saingan Liga Super sahaja, tidak termasuk untuk stadium yang digunakan oleh pasukan Liga Perdana.

Akan tetapi, banyak faktor yang perlu diperbaiki sekiranya FAM mahu menggunakan sistem VAR antaranya pasukan wajib mempunyai stadium yang menepati piawaian untuk kamera VAR dipasang selain bilik khas bagi pengadil yang akan mengawasi sistem tersebut.

Melihat kepada situasi di kebanyakkan stadium dalam negara, sistem ini belum boleh dilaksanakan dan kerja penambahbaikan perlu dijalankan segera jika mahu menggunakan sistem tersebut.

Dalam saingan liga di kalangan negara Asia Tenggara, Liga Thailand merupakan satu-satunya liga yang menggunakan sistem VAR sekaligus mengikut jejak langkah liga ternama lain di Asia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Nurshamil Tidak Gentar, Sedia Bersaing Dengan Penyerang Import

20 Jurulatih Tempatan Sertai Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2022-2023

Curran Ferns Perli FAM, Beri Kerakyatan Kepada Pemain Yang Menipu Ada Darah Malaysia