Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham secara rasmi menjadi pemilik pasukan Kelantan FC selepas membeli pemilikan penuh syarikat TRW Sdn. Bhd hari ini.

Dalam majlis yang diadakan di Kota Bharu itu, Norizam telah memberitahu bahawa beliau sudah membeli saham dalam syarikat TRW Sdn Bhd dengan nilai RM3 juta serta RM3.8 juta sebagai pendahuluan untuk kelab menyelesaikan semua hutang yang ada.

Secara keseluruhan, Norizam Tukiman telah membelanjakan RM6.8 juta untuk memulakan kembali pasukan Kelantan.

Bukan Tindakan Terburu-buru Beli Kelantan FC

Norizam juga sempat menjelaskan bahawa tindakan beliau ini bukanlah secara terburu-buru, sebaliknya menyatakan kajian telah dibuat sebelum keputusan diambil.

“Ini bukan satu tindakan terburu-buru, saya dah buat kajian dan Kelantan adalah pasukan yang paling unik di Malaysia kerana mempunyai sokongan nombor satu di Malaysia, nombor dua adalah Kedah dan ketiga adalah JDT.”

Beliau menyifatkan Kelantan FC memerlukan pengurusan yang stabil sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 hingga 10 tahun untuk kembali disegani semula.

Tempelak Isu Kenegerian Yang Cuba Ditimbulkan.

Ketika beberapa pihak tertentu yang cuba menimbulkan isu kenegerian, Norizam Tukiman tampil menepis perkara sebegitu, dan menyifatkan ia bukan satu masalah bagi orang Johor untuk membangunkan bola sepak Kelantan.

“Tak ada isulah. Vincent Tan beli Cardiff City tak ada orang marah pun. Kalau yang main dekat JDT pun boleh ada pemain Kelantan, apa salahnya.

“Saya cuma harap pemain dan peminat boleh terima saya sebagai pemilik.”

Pelaburan Ini Bukan Untuk Untung Segera.

Memiliki sejarah dalam bidang pelaburan kira-kira 20 tahun, Norizam menceritakan bahawa tempoh 3 hingga 5 tahun pertama adalah masa yang diperlukan untuk mengembalikan kepercayaan daripada penyokong serta keyakinan pemain kepada pihak pengurusan.

Beliau juga ada menjawab isu berkenaan identiti dan juga tradisi pasukan Kelantan FC, dimana buat masa sekarang ia akan dikekalkan.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada perbincangan mengenai sedikit perubahan dalam pasukan.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami  sediakan untuk anda.

RASMI: Buriram United Siap Sedia Hantar Trio Suphanat, Supachok Dan Supachai Ke Leicester City Tahun 2021

Ratusan Bungkus Maruku Terjual Dalam 2 Bulan, Indikator Awal ‘F&B Business’ Kerteh FC Semakin Kencang.

Arnout Vercruysse: “Saya Dah Beli 2 Buah Buku Resepi Masakan Malaysia”, Teruja Menerima Luqman Hakim Dirumahnya