Pemilik TRW Kelantan, Norizam Turkiman atau dikenali sebagai ZamSaham hari ini mengumumkan penolong jurulatih pasukan tersebut, Pol Corpas Cuatrecasas telah memeluk agama Islam.

Menurut kenyataan di laman facebook ZamSaham, jurulatih dari Sepanyol itu telah mengucapkan dua kalimah Syahadah di hadapannya sambil disaksikan oleh barisan kejurulatihan seperti Rezal Zambery, Azli Mahmood dan Encik Qusmaini Noor Rusli.

“Alhamdulillah, Pol Corpas pembantu jurulatih Kelantan mulai hari ini adalah saudara muslim kita. Saya syahadahkan beliau tadi pagi bersaksikan coach Rizal, coach Azli, coach Qus dan coach Bob,” katanya.

“Tiada paksaan kepada sesiapa sahaja untuk kembali kepada fitrah. Benarlah Hidayah itu milik Allah,” tambahnya di ruang komen.

Difahamkan nama baru Pol Carpos adalah Pol Abubakar Corpas Cuatrecasa dan akan mulai dikenali sebagai Abu Bakar mulai esok.

Menurut ZamSaham, wakil Hidayah Centre Foundation akan membantu menguruskan hal-hal berkaitan pendaftaran Syahadah. Ia berlaku di Hotel Zamburger Kota Warisan, Sepang iaitu tempat dimana barisan jurulatih menginap untuk sementara.

Abu Bakar telah bersama skuad The Red Warriors sejak dari musim 2021 sehingga kini masih setia berkhidmat dalam barisan kejurulatihan TRW Kelantan FC bagi saingan Liga Super 2023.

Selain pembantu jurulatih, beliau juga merupakan penganalisis video pasukan TRW Kelantan dan akan membantu ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon Sik dalam merencanakan pelbagai taktikal.