Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau yang lebih mesra dengan panggilan Zamsaham bakal memberikan habuan kepada ketua jurulatih sementara pasukan, Rezal Zambery Yahya sekiranya pasukan itu mara ke peringkat akhir saingan Piala Malaysia musim ini.

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Norizam bakal menghadiahkan salah satu kereta kesayangannya iaitu Porsche kepada Rezal jika jurulatih itu berjaya membawa Kelantan mara sehingga ke perlawanan akhir.

“Walaupun saya tahu pasukan saya tidaklah sekuat mana. Maklumlah, bajet yang diperuntukkan untuk pasukan sudah habis untuk membayar hutang kapal yang hampir karam.

“Tetapi sebagai dorongan dan semangat, seawal kempen Piala Malaysia tempoh hari saya sudah berjanji untuk hadiahkan Porsche ini kepada ketua jurulatih sementara pasukan kalau dapat masuk pentas akhir Piala Malaysia,” kata Zamsaham.

Selain itu, para pemain turut menerima habuan sekiranya berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan dimana Norizam menegaskan bonus KPI akan diberikan seperti yang tertulis dalam surat tawaran dan kontrak pemain.

TRW Kelantan ketika ini menghuni tangga tercorot dalam kumpulan D dimana mereka hanya mampu untuk mengumpul satu mata selepas menghadapi tiga perlawanan setakat ini.

Namun, mereka masih lagi mempunyai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya dimana pasukan itu hanya berada tiga mata dibelakang pasukan di tangga kedua, Petaling Jaya City dan wajib menang baki ketiga-tiga perlawanan menentang PJ City, Sabah dan Johor Darul Ta’zim.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Piala Malaysia 2021: Dollah Nampak Kelebihan Malik Mat Ariff Sebagai Seorang Penyerang Sejati

Kobe Chong Dan Omar Raiyan Ucap Tahniah Atas Kejayaan Skuad B-22 Tahun Negara

Piala Malaysia 2021: PJ City Sedia Tumbangkan Kelantan Di Kota Bharu