Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham menegaskan beliau mendapat semangat baharu selepas berjumpa pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ).

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Zamsaham berkata tiada seorang pun yang sanggup mengambil risiko dengan mengeluarkan wang untuk membeli pasukan Kelantan dari beliau.

“Genap sudah 7 hari, yang bercakap dan komen ramai tetapi sayangnya tiada sorang pun yang nak ambil risiko, keluar duit atau pendek cerita ambik alih sepenuhnya A – Z TRW Kelantan FC dari saya.

“Maka,selepas berjumpa dengan DYMM TMJ semalam, saya dapat semangat baru ,inspirasi untuk saya teruskan menerajui kelab ini dan buat yang terbaik. Mungkin tak sekelip mata tapi berperingkat dan berfasa.

“Kepada yang berikan takiran yang boleh terima akal, semangat, pandangan dan komen-komen teruskanlah. Saya tahu jika anda tak mampu nak ambil alih kelab, cinta dan sayang tetap ada melalui sokongan berterusan melalui penulisan yang matang.

“InshaAllah dengan Lafadz Bismillahirraminirrahim saya akan teruskan perjuangan di TRW Kelantan FC hingga masa yg sesuai dan ditentukan olehNya. Mudahan Allah swt memberkati usaha saya ini,” katanya.

Baru-baru ini, Zamsaham pergi menghadap TMJ dimana beliau memberikan hadiah berupa dua ekor kuda kepada Norizam yang menyambut hari jadi.

Meskipun kedua-dua pemilik pasukan ini melihat kuda sebenar, namun ramai berpendapat ada maksud lain yang mahu disampaikan oleh Zamsaham.

Ramai yang berpendapat beberapa pemain JDT bakal dipinjamkan ke Kelantan yang ketika ini sedang bergelut dengan masalah prestasi dalam saingan Liga Super.

Pemain yang kurang mendapat minit permainan bersama JDT berkemungkinan besar bakal dipinjamkan sekaligus membantu Kelantan untuk bangkit semula dalam saingan Liga Super.