Pelbagai isu yang sedang membelenggu pasukan Kelantan FC ketika ini bakal dijawab pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai ZamSaham dalam satu majlis jamuan makan bersama penyokong pada hari esok bermula 2 petang.

Beliau mengesahkan menerusi akaun Facebooknya yang dia sedia menjawab beberapa soalan terbuka daripada penyokong ‘The Red Warriors’ di Kota Bharu.

TRW Kelantan dalam satu kenyataan rasmi memberitahu peminat yang tidak dapat hadir boleh mengemukakan soalan menerusi satu borang khas yang dimuat naik menerusi Google form.

TRW berkata: “Kami dengan sukacita menjemput fans-fans TRW Kelantan FC untuk turut sama hadir ke majlis ini. Kami juga membuka peluang untuk anda ajukan sebarang pertanyaan atau pandangan terus terhadap Kelantan FC.”

Pertanyaan atau pendapat boleh di isikan melalui google form berikut yang dikongsikan menerusi laman sosial rasmi kelab itu.

Dalam kenyataan yang sama, TRW Kelantan mengesahkan hanya 10 soalan bertuah akan dipilih untuk dijawab dalam sesi soal jawab nanti.

Isu mengenai Kelantan FC menjadi tumpuan peminat selepas bekas jurulatih, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong mendedahkan situasi ‘di belakang tabir’ pasukan ini, kemudian tiba giliran pemainnya pula melakukan perkara sama.

Penjaga gol pasukan itu, Farhan Abu Bakar mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam pasukan naib juara Liga Perdana musim lalu itu disifatkan tidak berperikemanusiaan.

Penjaga gol kebangsaan itu mengakui hairan kerana perlu meminta wang pendahuluan sedangkan pasukan itu sedang berdepan tunggakan gaji bagi bulan April.

Selain itu, Farhan turut berkongsi audio perbualan di laman media sosialnya dipercayai antara bekas pemain ataupun jurulatih dengan pengurusan pasukan itu.

Dalam audio terbabit, individu dipercayai wakil pengurusan menghamburkan kata-kata kurang enak selepas bekas pemain ataupun jurulatih itu meminta gajinya.