Setelah dilantik secara rasmi selaku ketua jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan, tidak mahu menunggu terlalu lama bagi mencari kelemahan dan masalah yang dialami pasukan.

Beliau sudah membayangkan akan membuat rombakan pemain namun semuanya bergantung selepas membuat ‘post mortem’ dengan semua pihak.

“Paling penting yang saya kena lakukan sekarang ini ialah kena duduk semeja dengan pegawai teknikal bagi mengetahui kenapa Penang gagal untuk musim ini.”

“Adakah sebab pemain atau ada faktor-faktor lain, itu perkara pertama yang saya akan buat selain berjumpa dengan pemain.”

“Tindakan drastik bakal dibuat dan saya akan berbincang dengan pengurusan jika kemungkinan besar perlu buat perubahan pada senarai pemain.”

“Namun segalanya bergantung selepas saya buat post mortem dan mendapat satu jawapan terhadap masalah sebenar pasukan,” katanya.

Ini adalah kali kedua Zainal kembali bersama Penang selepas pernah mengendalikan pasukan pada pertengahan musim 2017 hingga 2018 sebelum ke Melaka United.

Zainal tidak dapat menyelamatkan Penang pada musim 2017 apabila menduduki tangga terakhir Liga Super selain menamatkan cabaran di tempat ke-10 Liga Premier pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, situasi kali ini berbeza buat Zainal yang dilihat semakin mendapat sentuhan selepas membawa Melaka mara ke separuh akhir Piala Malaysia,musim lalu.

Sementara itu, Zainal akui jangkaan serta harapan yang diberikan oleh semua pihak pasti tinggi kali ini memandangkan Penang belum mencapai sebarang kemenangan di pentas Liga Super.

“Saya ucapkan terima kasih dengan kepercayaan pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah yang telah beri kepercayaan untuk saya kendalikan Penang sekali lagi.”

“Sudah pasti saya akan cuba jalankan tugas sebaik mungkin kerana jangkaan dari pengurusan serta penyokong kali ini sangat tinggi.”

” Belum ada kemenangan selepas lapan perlawanan dan berada di tempat terakhir, kemenangan pertama sudah pasti amat dinanti-nantikan oleh semua,” tambah Zainal Abidin lagi.

Tugas pertama Zainal bersama Penang ialah pada 18 Jun ini apabila berdepan PJ City FC di Stadium Bandaraya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Mesut Ozil: Tiada Kelab Lain, Saya Hanya Akan Bersara Di Fenerbahce

Jordi Amat Akui JDT Salah Satu Pilihan Kelab Barunya

Pogba Tinggalkan United, Dapat Bonus Kesetiaan £3.8 Juta Dan Menjadi Pemain Termahal Ditanggung Kelab