Ketua jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan menegaskan anak buahnya masih belum mengangkat bendera putih meskipun peluang beraksi di pentas TM Piala Malaysia tipis dengan kedudukan tercorot liga ketika ini.

Penang kini mengalami tujuh kekalahan berturut-turut untuk menghuni tangga terakhir liga dengan tujuh mata sahaja sekaligus menyaksikan pasukan bergelut untuk layak ke Piala Malaysia.

Beliau sedar ia akan menjadi tugas mencabar dalam baki lima lagi perlawanan akan datang dalam usaha mengumpul mata, namun barisan pemain tetap optimis masih mampu untuk merebut peluang perbaiki kedudukan selepas ini.

“Dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak akan mengaku kalah lagi.”

“Yang penting, kita main satu persatu perlawanan terlebih dahulu dan akan menilai daripada situ sebab macam-macam mana pun kita perlu bawa balik mata.”

“Pemain memang nampak sedikit kecewa tetapi saya sentiasa beri mereka semangat baru dan kita kena yakin insyaAllah lima perlawanan nanti masih mampu untuk menyelamatkan pasukan,” jelasnya.

Menjelang aksi menentang Terengganu FC malam ini, Zainal menyifatkan aspek penyudah antara yang perlu diberi penekanan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Kredit Foto: Penang Football Club

Bahkan, kemenangan tunggal Penang musim ini juga adalah ketika menewaskan Terengganu pada Jun lalu dan amat penting untuk mereka tidak lagi tercicir mata.

“Masa lawan Kedah hari itu, saya nampak pertahanan dah semakin baik cuma yang menyedihkan hanyalah pada penyudah apabila peluang terbuka ada depan mata tetapi tidak berhasil.”

“Bola yang sepatutnya masuk gol, tetapi bila tak dapat tu memang mengecewakan pasukan.

“Perubahan pemain esok memang akan ada dan saya akan tengok balik macam mana”, tambah Zainal Abidin lagi.

Selain perlawanan Penang dan Terengganu, satu lagi aksi adalah membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC yang menerima kunjungan Selangor FC.