Pengendali pasukan Melaka United, Zainal Abidin Hassan menggesa anak-anak buahnya untuk kembali fokus setelah pengurusan pasukan memberikan jaminan isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh pasukan akan diselesaikan selewet-lewatnya Ogos hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Adly Zahari semalam berkata pihak pengurusan akan membayar tunggakan sebulan gaji kepada pemain pada hujung bulan ini dan akan menyelesaikan baki tunggakan pada bulan hadapan. Adly yang juga Ketua Menteri Melaka turut mengakui kecuaian penaja menyalurkan wang tajaan menyebabkan Melaka kembali menghadapi isu tunggakan gaji.

Zainal Abidin Hassan
Sumber Gambar: Kosmo

Setelah mendapat kata putus daripada MUSA, Zainal mengucapkan terima kasih kepada Adly kerana menjaga kebajikan pemain dan beliau turut meminta pemain untuk mengetepikan sebarang permasalahan yang sedang berlaku kerana saingan Piala Malaysia akan membuka tirai tidak lama lagi.

“Saingan Selangor, FELDA United dan PDRM tetap sengit dan sulit buat pasukan tetapi yakin salah satu slot ke suku akhir mampu menjadi miliki pasukan. Namun, fokus jitu harus diberikan untuk memastikan setiap perlawanan berakhir dengan kejayaan tiga mata terutama pada saingan di gelanggang sendiri,” kata Zainal Abidin menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, gaji pemain Melaka United dilaporkan tertunggak selama 3 bulan dimana kali terakhir mereka menerima gaji ialah sebelum perayaan Aidilfitri lalu. Permasalahan ini sekaligus memberi kesan kepada pemain dimana Melaka United tewas di tangan pasukan Pahang dengan keputusan 4-1 pada perlawanan terakhir Liga Super musim 2019.

Pada masa yang sama, Zainal berharap jaminan daripada pihak pengurusan mengenai pembayaran gaji dapat memberikan semangat serta motivasi baharu kepada anak-anak buahnya sekaligus memastikan Melaka United mara dengan lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini setelah terkandas di saingan peringkat kumpulan pada edisi tahun lalu.