Bekas penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman berkemungkinan besar bakal menyertai pasukan dari Lembah Klang bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Semalam, Zafuan memuat naik satu gambar di laman Instagram story milik beliau yang menandakan beliau berada di Kuala Lumpur dan akan menyertai sesi latihan bersama satu pasukan. Namun beliau tidak menyebutkan secara spesifik pasukan mana yang akan beliau sertai.

Instagram Zafuan

Sejak dilepaskan oleh PKNP FC pada awal saingan musim 2019, Zafuan tidak menyertai mana-mana pasukan dan hanya berlatih secara sendiri. Pada mulanya Zafuan menyertai revolusi yang dilakukan oleh pasukan Perlis. Akan tetapi, apabila PFA menghadapi krisis kewangan yang serius, Zafuan kemudiannya membatalkan kontrak bersama PFA dan menyertai Pulau Pinang.

Jodoh pemain yang pernah berlatih bersama Venezia FC dan Yangju Citizens FC ini tidak kekal lama apabila beliau meninggalkan Pulau Pinangd an menyertai PKNP FC. Perkara sama kemudiannya berulang apabila beliau dilepaskan sebaik Liga Super membuka tirai.

Zafuan Azeman
Sumber Gambar: Goal.com

Masih belum diketahui pasukan Lembah Klang mana yang akan disertai oleh Zafuan Azeman. Ketika ini, empat pasukan iaitu Selangor, Kuala Lumpur, PKNS FC dan Petaling Jaya City FC beraksi dalam saingan Liga Super manakala tiga lagi pasukan iaitu UKM FC, UiTM FC dan PDRM FA beraksi dalam saingan Liga Perdana.