Ketua jurulatih pasukan Kelantan, Yusri Che Lah menegaskan beliau sedia untuk terus menabur bakti bersama skuad The Red Warriors musim hadapan.

Pada perlawanan terakhir Liga Perdana menentang UKM FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV semalam, Kelantan berjaya meraih kemenangan dengan keputusan 2-0 sekaligus kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

Menurut Yusri, beliau sedia untuk terus membimbing pasukan itu kerana jiwanya sudah sebati dengan Kelantan meskipun bukan anak jati negeri itu.

“Satu perasaan yang cukup gembira. Dua kekalahan berturut-turut yang dilakar sebelum ini seolah-olah dilupakan pemain dan ia dapat mengubat hati serta mengembalikan semula sokongan peminat selepas kemarau kemenangan.

“Saya lihat semangat luar biasa ditunjukkan semua pemain, sekaligus memastikan kekal bersaing dalam kancah Liga Perdana 2020.

“Syukur dengan kemenangan ini walaupun dalam serba kekurangan keputusan tetap berpihak kepada Kelantan dan perancangan yang dilakukan juga diikuti sebaiknya oleh pemain,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Kemenangan ke atas UKM meletakkan Kelantan di tangga ke-10, satu mata dihadapan pasukan Sarawak yang hampir pasti beraksi dalam saingan Liga M3 musim hadapan.

Sarawak berkemungkinan besar digantikan oleh Kuching FA yang ketika ini sedang mendahului carta Liga M3.