Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah memberikan nasihat ikhlas kepada para pemain muda agar tidak terbawa-bawa dengan perasaan marah sehingga melakukan perkara yang tidak sewajarnya ketika beraksi.

Beliau menganggap tindakan keterlaluan yang dilakukan hanya akan merugikan diri sendiri dan mahu para pemain muda lebih matang dalam mengawal sikap dan perlakuan mereka.

Kenyataan itu terpaksa dikeluarkan pengendali kelahiran Kangar, Perlis tersebut selepas tindakan Muhammad Iqmal Ramlan melakukan kekasaran terhadap pemain import Perak, Luciano Guaycochea di masa kecederaan pada aksi Liga Premier Malaysia 2022, semalam.

Dalam insiden tersebut, Luciano kelihatan menarik Iqmal dalam usahanya untuk mendapatkan kembali penguasaan bola.

Namun, pemain berusia 21 tahun itu seolah-olah hilang pertimbangan dengan menumbuk muka Luciano sehingga beliau dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Anselm Anak Enterang.

“Nak komen pasukan orang nanti ‘depa’ marah tetapi saya cuma menasihatkan sebab saya membawa pasukan muda pada tahun yang lalu supaya [menjaga] sikap. Bukanlah kerana apa yang berlaku pada malam ini.”

“Tetapi sebagai seorang [pemain] biarlah kita matang dan agar tindakan kita itu mencerminkan pasukan negeri kerana Selangor cukup sinonim [dengan sejarah]. Saya pun pernah mengecapi sejarah dengan mereka.”

“Saya cuma menasihatkan, sama ada mahu mendengar atau tidak itu terpulang. Jangan terlalu emosi. Sikap panas baran yang mengakibatkan selepas ini [pemain] didenda dan akan menyesal di kemudian hari,” tambah Yusri Che Lah lagi.

Jelas sekali ia bukan sahaja nasihat kepada pemain Selangor 2 tetapi buat semua pemain tanpa mengira muda atau sudah berstatus pemain berpengalaman perlu untuk matang dan tidak terlalu beremosi ketika beraksi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Zainal Abidin: Bertemu Melaka Adalah Aksi Terburuk Sejak Mula Kendalikan Penang

Asri Ninggal: Semangat Berpasukan Pemain Melaka United Atasi Penang Sangat Bagus

RASMI: Benjamin Mora Kini Bukan Lagi Jurulatih JDT