Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menjadi antara orang paling gembira di sebalik pengambilalihan pengurusan pasukan sekali gus menamatkan penderitaan pegawai serta pemain yang menanti sekian lama mengenai masa depan mereka.

Ujar Yusri, beliau serta pemain-pemain boleh menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan tersenyum selain kembali bermotivasi bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Dalam masa sama, beliau memberikan penghargaan kepada Malaysian Football League ( MFL) yang turut membantu kepada masalah dihadapi Perak dengan sudi melonggarkan tempoh lanjutan selama seminggu untuk menjadikan usaha itu dapat direalisasikan.

“Saya mewakili pegawai dan pemain berasa bersyukur di hari terakhir tempoh lanjutan yang diberikan oleh MFL, akhirnya penjualan Perak FC mencapai kata putus.

“Sesungguhnya penantian itu satu penyeksaan dan segala kesabaran serta perjalanan kesusahan kami alami, dibayar dengan harga yang cukup tinggi.

“Apa yang berlaku memberikan kebaikan kepada bola sepak negara sebenarnya apabila sebuah syarikat ‘ public listed’ mengambil alih salah sebuah pasukan di Liga Malaysia.

” Dalam masa sama, saya ingin ucapkan terima kasih kepada MFL kerana sudi berikan tempoh lanjutan seminggu selepas tarikh akhir pada 22 April yang membuka ruang kepada pengambilalihan Perak FC.

Kredit Foto: Perak Football Club

“Kini kami berasa seperti bernafas kembali selain menjadi hadiah Aidilfitri yang sangat bermakna kepada semua pegawai serta pemain Perak setelah berdepan dengan nasib yang tidak pasti mengenai masa depan kami,” katanya.

Selain itu, Yusri yakin segala permasalahan tentang tunggakan gaji dapat dijelaskan sambil menyerahkan perkara itu kepada pengurusan baharu.

Enggan mengulas lanjut, beliau cuma mengharapkan perkara itu dapat diselesaikan sekaligus dapat memberikan tonik baharu buat pemain bagi harungi baki saingan Liga Premier.

“Pihak pengurusan baharu telahpun menjelaskan kedudukan mereka menyelesaikan tunggakan gaji kami dan saya yakin dengan pemantauan MFL dalam perkara ini, ianya ada diselesaikan dalam masa terdekat.

“Sudah tentu ada syarat-syarat tertentu yang telah dinyatakan dan kami menyambut baik sambil yakin mereka akan cuba selesaikan dalam kadar segera.”

“Apa yang lebih mustahak, kehadiran pemilik baharu ini diharapkan akan memberikan semangat yang lebih kepada pemain selepas hari raya.”

“Kami akan cuba untuk bersaing dengan pemain sedia ada untuk baki perlawanan pusingan pertama ketika kami menanti sekatan pendaftaran pemain bakal dibuka semula jika semua isu dapat diselesaikan,” tambah Yusri Che Lah lagi.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group