J.League, sebuah liga bola sepak antara yang terbaik di Asia dengan pengurusan yang teratur, cekap dan amanah sememangnya menjadi impian bagi ramai pemain terutama dari Asia Timur.

Liga ini diuruskan sepenuhnya oleh Japan Professional Football League (J.League), dan tahun 2018 ini merupakan tahun ke 25 Jepun memiliki sebuah liga bola sepak profesional.

Sebelum terus kepada topik asal artikel, kita akan cuba memahami bagaimanakah struktur liga bola sepak Jepun untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas seperti dibawah.

Japan Professional Football League ( J.League )

Hanya mengurus dan menganjurkan liga untuk 3 divisyen teratas sahaja. Dalam semua 3 divisyen ini terdapat 54 buah pasukan bersaing.

jleague malaysia

Pecahan jumlah pasukan mengikut divisyen dalam 3 hierarki teratas bola sepak Jepun:

  • J1 League mempunyai 18 buah pasukan bertanding
  • J2 League merupakan divisyen yang mempunyai paling banyak pasukan bertanding, 22 pasukan kesemuanya.
  • J3 League pula mempunyai 14 pasukan kelab serta 3 pasukan kelab U23, menjadikan 17 buah pasukan kesemuanya.

Japan Football League

Liga divisyen 4 dalam hierarki bola sepak Jepun ini pula dikenali dengan nama Japan Football League (JFL).

Liga JFL diuruskan secara berasingan dan bukan dibawah kawal selia pihak J.League seperti 3 divisyen teratas tadi. Beberapa tahun dahulu, sebelum J3 League diwujudkan, JFL merupakan liga divisyen 3 dalam hierarki liga bola sepak Jepun.

image

Ketika pemain Felda United FC, Wan Zack Haikal beraksi untuk FC Ryukyu, kelab itu beraksi dalam liga JFL dan bukan J.League.

Liga JFL mempunyai 16 pasukan kesemuanya dan boleh diklasifikasikan sebagai liga semi-pro Jepun.

9 Buah ‘Regional League’

Pada hierarki ke 5, Jepun mempunyai ‘Regional League’. Seluruh Jepun dibahagikan kepada 9 bahagian dan diuruskan oleh persatuan bola sepak regional masing-masing.

Selain itu, pada lapisan ini ada beberapa buah regional yang mempunyai lebih dari 1 divisyen dan divisyen yang lebih rendah itu berada pada hierarki ke 6 liga bola sepak Jepun.

Secara kasarnya, dalam hierarki ke 5 dan 6 ini, mempunyai 134 buah pasukan yang bertanding keseluruhannya.

Liga Di Setiap Prefektur

Di Jepun, mereka mempunyai 47 buah prefektur dan setiap prefektur mempunyai persatuan bola sepak mereka sendiri serta liga bola sepak.

Liga bola sepak diperingkat ini melibatkan jumlah pasukan yang banyak dan dari maklumat yang kami ada, ianya lebih dari 1000 buah kelab!

Berapa Yuran Yang Dikenakan Untuk Bertanding Dalam Liga?

Ada 2 jenis bayaran yang dikenakan kepada sesebuah kelab jika mahu bertanding dalam liga bola sepak dibawah pentadbiran J.League.

  • Yuran Penyertaan
  • Yuran Keahlian

Berikut adalah jumlah yuran penyertaan dan yuran keahlian bagi 3 divisyen teratas liga bola sepak Jepun (J.League).

J1 League:

  • Yuran Penyertaan: 60 juta Yen (RM2.2 juta)
  • Yuran Keahlian: 40 juta Yen (RM1.46 juta)

J2 League:

  • Yuran Penyertaan: 20 juta Yen (RM734,000)
  • Yuran Keahlian: 20 juta Yen (RM734,000)

J3 League:

  • Yuran Penyertaan: 5 juta Yen (RM183,000)
  • Yuran Keahlian: 10 juta Yen (RM367,000)

Yuran penyertaan hanya akan dikenakan kepada pasukan yang kali pertama layak dan beraksi dalam sesebuah divisyen sahaja dan bukan dikenakan setiap tahun.

Sebagai contoh, kelab yang baru kali pertama naik dari J2 ke J1 perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM2.2 juta dalam tempoh 1 bulan selepas disahkan naik ke divisyen tertinggi dan seterusnya juga perkara berlaku kepada 2 divisyen lain.

Yuran keahlian liga untuk setiap divisyen pula akan dikenakan setiap tahun. Yuran ini perlu dibayar mengikut tempoh yang telah ditetapkan dan kebiasaannya semua kelab diberikan masa sehingga hujung April setiap tahun untuk menyelesaikannya.