Pemain muda Jepun terus mencipta nama di persada bola sepak Eropah apabila seorang lagi prospek masa hadapan skuad The Samurai Blue, Yukinari Sugawara sah menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Eredivies, AZ Alkmaar secara pinjaman bagi menghadapi musim 2019/2020.

Sugawara beraksi dalam temasya Piala Dunia Bawah 20 Tahun yang baru sahaja berakhir minggu lalu dimana beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dalam kesemua 4 perlawanan yang melibatkan pasukan Jepun. Beraksi di posisi pertahanan kanan, Sugawara membantu pasukannya mara sehingga ke peringkat 16 pasukan terbaik dimana mereka tewas kepada seteru utama, Korea Selatan dengan keputusan 1-0.

Yukinari Sugawara
Sumber Gambar: Twitter

Di peringkat kelab, pemain yang baru sahaja menginjak usia 18 tahun itu beraksi bersama Nagoya Grampus dalam saingan J1 League. Yukinari Sugawara membuat penampilan sulung bersama Nagoya pada musim lalu dan beliau telah tampil dalam 22 perlawanan pada musim pertamanya.

AZ dikhabarkan mahu menguji Sugawara terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada mahu menandatangani pemain itu secara tetap ataupun kekal dengan keputusan sebelum ini iaitu secara pinjaman.

Daizen Maeda

Kebelakangan ini, pemain muda Jepun menjadi bualan apabila pemain yang digelar sebagai “Messi Jepun”, Takefusa Kubo sah menyertai kelab gergasi La Liga, Real Madrid. Rakan sepasukan Kubo, Daizen Maeda turut dikaitkan dengan perpindahan ke La Liga apabila musuh utama Real Madrid, Barcelona dikatakan berminat untuk menandatangani penyerang berusia 21 tahun itu.