Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Ketua jurulatih Singapura, Tatsuma Yoshida tetap berbangga dengan semangat juang dipamerkan barisan anak buahnya meskipun mereka gagal untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2020.

Beliau juga dalam pada itu mengakui tetap menerima segala keputusan yang diambil pengadil perlawanan dari Oman, Qasim Matar Ali Al Hatmi dimana kebiasaannya tidak memihak pasukannya.

Seperti yang sudah pun diketahui, Singapura memaksa Indonesia berhempas pulas sehingga ke masa tambahan walaupun juara empat kali itu hanya beraksi dengan sembilan orang pemain selepas Safuwan Baharudin dan Irfan Fandi dilayangkan kad merah pada setiap babak.

Episod layangan kad merah tidak terhenti di situ apabila giliran Hassan Sunny pula menerima nasib yang sama pada minit ke-118 setelah beliau tiada pilihan selain daripada mengasari Irfan Jaya ketika sudah tiada pemain pertahanan untuk menghalang gerakan lincah pemain tersebut.

Malah jika diimbas kembali pada lewat aksi 90 minit, barisan yang diketuai Hariss Harun itu begitu hampir untuk menjejakkan kaki ke pentas final sekiranya Faris Ramli dapat menyempurnakan sepakan penalti.

Namun, itulah hakikat yang perlu ditelan dalam bola sepak sekiranya peluang terhidang tidak dapat disempurnakan dengan baik, ia hanya sekelip mata mampu untuk meragut segala impian pasukan.

“Walaupun kami kehilangan beberapa pemain [ekoran kad merah], kami tidak berputus asa dan saya terharu dengan semangat juang ditunjukkan oleh mereka,” ujar Yoshida menurut sumber laporan laman sesawang rasmi Persatuan Bolasepak Singapura.

“Sebelum perlawanan, saya bercakap kepada mereka bahawa ‘anda tidak boleh mensia-siakan peluang untuk bergelar finalis’ dan mereka menjawabnya dengan menunjukkan persembahan sedemikian.”

“Ini merupakan persembahan terbaik mereka sejak saya mula bergelar jurulatih Singapura [Mei 2019]. Saya berasa cukup gembira dapat bekerja dengan mereka dan saya berbangga dengan mereka.”

“Mentaliti tidak berputus-asa ini adalah merupakan perkara yang penting. Kami menunjukkan bahawa kami boleh meningkat, menjadi lebih kuat dan membawa bola sepak Singapura di tahap lebih tinggi.”

“Keputusan pengadil adalah muktamad. Sekiranya dia mengatakan itu adalah kesalahan, ia merupakan kesalahan. Sekiranya dia mengatakan kad merah, ia adalah kad merah. Kami perlu menerimanya.”

“Itu adalah bola sepak. Walaupun sekiranya ia satu keputusan yang sukar untuk diterima, kami tetap perlu untuk menerimanya,” tambah Tatsuma Yoshida lagi.