Perak FC meraih kemenangan sulung dalam saingan Liga Super 2021 apabila berjaya menundukkan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga sekali gus terus memberikan tekanan hebat buat tuan rumah yang turut mengalami kekalahan 1-3 pada aksi pembukaan menentang Selangor, tempoh hari.

Perak hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-19 apabila Guilherme De Paula mendapat umpanan cantik daripada Kenny Pallraj.

Tonggak serangan yang baharu sahaja mendapat taraf pemain naturalisasi itu berjaya melepasi kawalan Herold Goulon tetapi rembatannya dalam kawasan penalti sekadar melewati palang gol.

Sri Pahang FC juga memiliki peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan, namun tandukan Goulon pada minit ke-28 dalam kawasan penalti gagal mencari dua rakan sepasukannya.

Tandukan Pedro Henrique pula berjaya menewaskan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, bagaimanapun Kenny Pallraj bertindak cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol pada minit ke-41.

Jaringan pembukaan akhirnya menjelma berselang dua minit kemudian apabila J. Partiban menyempurnakan peluang terhidang dengan melakukan percubaan dalam kawasan penalti bagi menewaskan Helmi Eliza Elias berikutan percubaan awal De Paula yang terlebih dahulu membias terkena pertahanan Pahang.

Perak kemudiannya menggandakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi tolakan mudah pemain pinjaman, Farhan Roslan berikutan kesilapan ‘budak sekolah’ dilakukan Helmi Eliza yang gagal membaca dengan baik hantaran jauh daripada De Paula.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Sri Pahang cuba untuk bangkit bagi memberikan tekanan buat skuad bimbingan Chong Yee Fatt itu tetapi keadaan itu tampak cukup sukar apabila jentera pertahanan Perak yang diketuai Shahrul Mohd Saad dan Shakir Hamzah terus kental bertahan.

Hafizul Hakim juga tidak memberikan peluang buat barisan pemain serangan Sri Pahang untuk mendapatkan jaringan sekali gus beliau masih mengekalkan rekod tanpa dibolosi pada dua perlawanan liga.

Dengan keputusan itu, Perak menghuni kedudukan ketiga liga selepas mengutip empat mata, ketinggalan dua mata di belakang Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC.