Pengendali sementara pasukan kebangsaan Indonesia, Yeyen Tumena menegaskan dua gol yang diperoleh Malaysia pada perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam merupakan hadiah daripada pemain beliau.

Yeyen menegaskan kesilapan yang dilakukan khususnya di bahagian pertahanan memberikan ruang kepada Malaysia untuk menjaringkan dua gol sekaligus menewaskan Indonesia untuk kali kedua dalam kempen kelayakan kali ini.

Yeyen
Sumber Gambar: PFAM

“Beraksi di peringkat antarabangsa, kita tidak boleh menyia-nyiakan peluang yang ada. Dua gol yang dijaringkan oleh Malaysia adalah hadiah daripada pemain (Indonesia).

“Meskipun tewas, namun saya kagum dan respect dengan kerja keras yang ditampilkan oleh para pemain sepanjang perlawanan. Mereka telah melaksanakan apa yang telah dirancang meskipun hasil tidak menyebelahi kami.

“Saya ucapkan tahniah kepada Malaysia yang jelas menguasai permainan. Tetapi kita mempunyai lebih banyak peluang dan lebih efektif,” kata Yeyen pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Yeyen turut memberikan komen terhadap kegagalan Osas Saha menyempurnakan sepakan penalti dan beliau tidak menafikan perkara itu menghalang Indonesia daripada bangkit.

“Semua pemain boleh gagal dalam mengambil sepakan penalti. Malah Maradona serta Messi juga pernah gagal. Saya setuju jika saat itu merupakan peluang kami untuk bangkit.

“Namun, perlawanan berlangsung selama 90 minit dan kami tidak boleh mengubah hasil yang kami raih pada perlawanan ini,” ujarnya.

Kekalahan kepada Malaysia membuatkan Indonesia kekal menghuni tangga tercorot kumpulan G manakala Malaysia melonjak naik ke tangga kedua di belakang Vietnam yang hanya mampu seri ketika bertemu Thailand.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di sini:

Dua Jaringan Safawi Rasid Bantu Harimau Malaya Baham Garuda

6 Pemain Malaysia Yang Berisiko Terlepas Perlawanan Dengan UAE Jika Kutip Kad Kuning Kedua Malam Ini