Kejayaan membawa penyerang skuad B-23 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak beraksi di Liga Jepun dengan menyertai kelab J2, Fagiano Okayama membuatkan syarikat pengeluar minuman kultur, Yakult Malaysia (M) Sdn Bhd mengharapkan lebih ramai pemain Malaysia mengikut jejak langkah Hadi pada masa akan datang.

Yakult menerusi Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada menegaskan Projek Impian ASEAN (ADP) boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk mana-mana pemain muda negara menampilkan kualiti yang dimiliki sekaligus menarik minat kelab dari luar negara untuk mendapatkan khidmat mereka.

Hamada
Sumber Gambar: Yakult

Pada masa yang sama, Hamada turut berharap lima pemain yang dipilih menerusi program ADP dapat menampilkan aksi terbaik mereka pada aksi perlawanan persahabatan menentang skuad remaja Cerezo Osaka seterusnya menambat hati jurulatih dari Jepun.

Hamada berkata: Kriteria untuk menyertai pasukan di sini sangat ketat namun saya berharap ada daripada lima pemain ini akan terpilih untuk kekal bersama Cerezo Osaka. Jika mereka terpilih, tidak mustahil Cerezo akan memperkenalkan pemain terbabit kepada kelab lain. Saya tidak boleh jamin lima pemain negara itu berpotensi untuk diserap masuk atau tidak.

“Bagaimanapun, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd akan sentiasa bersedia dan memberikan sokongan kepada pemain muda Malaysia untuk mengasah bakat di sini,” kata Hamada menurut laporan Berita Harian.

Untuk Rekod, Program ADP 2019 yang mendapat kerjasama Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Cerezo Osaka dan stesyen televisyen Jepun, TV Osaka memasuki penganjuran tahun kedua dan 15 pemain muda berbakat daripada tiga negara iaitu Malaysia, Thailand serta Myanmar diterbangkan ke Osaka untuk menyertai latihan dan aksi persahabatan bersama skuad remaja kelab tersebut.

Malaysia diwakili oleh Muhammad Haikal Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhamad Afiq Norizan daripada Sekolah Sukan Negeri Melaka, Muhammad Farizzudin Adham Batcha daripada Sekolah Sukan Negeri Selangor serta pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi, Anas Nadawi Shaharudin.