Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez tanpa berselindung mengakui bahawa skuad kendaliannya bakal menghadapi cabaran sukar dalam kempen Liga Europa (UEL) walaupun mereka dilabel sebagai antara pasukan pilihan juara.

The Blaugrana terpaksa beraksi dalam saingan UEL buat kali kedua berturut-turut selepas menamatkan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23  di kedudukan ketiga dalam kumpulan C.

Dengan tujuh mata diraih hasil dua kemenangan bertemu Viktoria Plzen, satu keputusan seri dan tiga kekalahan, Barcelona sekadar berada dibelakang Bayern Munich dan Inter Milan.

Selain Barcelona, empat lagi pasukan daripada UCL yang turut sah ‘jatuh’ ke Liga Europa adalah Ajax, Sporting Lisbon, Sevilla dan Bayer Leverkusen.

Berbekalkan pengalaman beraksi dalam saingan UEL pada musim lalu, Xavi melihat anak buahnya pastikan tidak akan mendapat laluan mudah.

“Ia masih merupakan saingan Liga Europa yang sangat baik. Sasaran kami adalah untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir dan memenangi kejuaraan.”

“Saya memahami hakikat bahawa mereka melabelkan kami sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai saingan,” ujar Xavi menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Kami terpaksa mencuba untuk memenangi Liga Europa, tetapi kami melihat pada tahun lalu ia merupakan satu pertandingan yang begitu sukar. Dengan pasukan yang ada pada tahun ini, ia kelihatan sangat sukar.”

Bahang dalam kancah Liga Europa pada musim lalu jelas dirasai Barcelona apabila mereka tersingkir di peringkat suku akhir ditangan wakil Jerman, Eintracht Frankfurt menerusi agregat 3-4.

 

Sumber