Bekas bintang Barcelona, Xavi Hernandez dan beberapa pemain serta staf kelab Al Sadd telah didenda sebanyak $2, 700 (RM11, 308) oleh Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) selepas didapati melanggar peraturan protokol COVID-19.

Xavi, yang juga ketua jurulatih kelab itu disahkan positif wabak COVID-19 pada minggu lepas namun sehari selepas itu beliau kembali ke rumah dan mula bekerja.

Tindakan beliau itu telah melanggar tempoh kuarantin di rumah dan diberi amaran rasmi daripada liga Qatar kerana tidak mematuhi protokol yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Beberapa pemainnya turut dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin QFA, bersama-sama pemain dan staf daripada pasukan lain di negara berkenaan.

Melalui kenyataan di laman instagram, beliau turut menegaskan kini sudah pulih dan kembali bersama keluarganya.

“Saya mahu berkongsi bersama anda bahawa saya sudah sembuh dan kembali bersama keluarga dan pasukan Al-Sadd,” kata Xavi Hernandez.

Hampir 4 peratus daripada jumlah populasi di Qatar dijangkiti wabak pandemik dengan 108,638 kes baharu telah dicatatkan sejak hari pertama menjadikan negara itu berada dalam kategori tertinggi di Asia.

Jangkitan COVID-19 itu turut menyebabkan Xavi terlepas perlawanan menentang Al Khor. Tugasnya dipangku oleh pembantunya, David Prats dalam perlawanan pertama Liga Qatar sejak ia ditangguhkan pada bulan Mac lepas.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Doan Van Hau: Vietnam Mampu Cipta Kejutan Di Kelayakan Piala Dunia

Kelab Singapura Ini Gunakan Laman “Job Seekers” Atas Talian Bagi Mencari Pemain

Jun Nishikawa Bakal Disambar Lille OSC Pada Harga RM12.5 Juta, Tahun Pertama Dipinjamkan Ke Liga Belgium