Wolves terus memfokuskan pembelian dari Portugal. Dan kali ini mereka menandatangani penyerang remaja Portugal, Fabio Silva dari Porto.

Silva kini menjadi pemain kesepuluh dari Portugal yang beraksi untuk Wolves pada ketika ini.

Hubungan rapat dengan super agent, Jorge Mendes antara sebab kenapa Wolves berjaya mendapatkan ramai bintang dari Portugal.

Wolves memecahkan rekod perpindahan kelab dengan membayar bintang 18 tahun itu dengan nilai €40 juta (RM196 juta), sekaligus menjadikan pemain itu sebagai pemain remaja ketujuh paling mahal dalam sejarah.

Beliau kini sama harga dengan Vinicius Jr, ketika pemain itu dibeli Real Madrid beberapa tahun lalu.

Silva, 18, menjaringkan tiga gol dalam 24 penampilan bersama skuad utama Porto. Beliau merupakan pemain yang digelar Cristiano Ronaldo baharu di negaranya.

Fabio Silva juga merupakan peminat fanatik kapten kebangsaan negaranya itu, Cristiano Ronaldo.

Beliau pernah menyatakan rasa bangganya dibandingkan dengan idolanya itu.

Legenda Sporting Lisbon, Manuel Fernandes berkata: “Ketika berusia 17 tahun, Ronaldo bermain sebagai penyerang tengah pasukan pembangunan Sporting.”

“Saya melihatnya, ada pemain yang melakukan perkara yang sama sekarang, dan ianya dilakukan oleh budak dari FC Porto: Fabio Silva.”

“Dia akan menjadi pemain yang hebat. Dalam masa yang singkat, dia akan menjadi penyerang yang luar biasa.”

Fabio menyatakan dia bangga mendengar perbandingan itu dan berkata:

“Ini adalah sesuatu yang membuat saya bangga.”

“Dibandingkan dengan pemain yang paling saya kagumi dalam dunia bola sepak memberi saya lebih banyak motivasi untuk terus bekerja dan bertambah baik.”

“Bagi saya, dia [Ronaldo] adalah yang terbaik dalam sejarah bola sepak, jadi dibandingkan dengan pemain legenda seperti itu. Ini adalah perasaan yang luar biasa.”

Wolves mengalu alukan kedatangan Fabio Silva dengan satu kenyataan ringkas: “Wolves sangat berbesar hati dapat menandatangani penyerang remaja antarabangsa Portugal, Fabio Silva dari Porto, dengan rekod perpindahan kelab.”

“Pemain berusia 18 tahun, yang juga pemain paling muda menjaringkan gol bersama Porto, berjaya memecahkan rekod rakan sepasukan barunya di Wolves, Ruben Neves yang mencatatkan rekod tahun lalu.”

Baca juga perkembangan lain

Sancho: Berita Saya Ke Man United Hanya Mainan Media

UNL: Tanpa Ronaldo, Crotia Tetap Lunyai Di Tangan Portugal

RASMI: Kai Havertz Milik Chelsea, Perubahan Sistem Dijangka Berlaku

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group