Penyerang import dari Brazil, Willian Lira dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai salah satu pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023 iaitu Kedah Darul Aman.

Ketika ini, Willian sudah mengikuti akaun sosial media rasmi Kedah dan beliau turut mengikuti bekas pemain skuad Hijau Kuninb yang juga berasal dari Brazil iaitu Sandro Da Silva.

Musim lalu, Willian Lira beraksi bersama kelab divisyen dua Liga Jepun iaitu Ventforet Kofu dan beliau membantu kelab tersebut memenangi trofi Emperor’s Cup dengan menewaskan Sanfrecce Hiroshima menerusi penentuan sepakan penalti.

Lira berjaya menyempurnakan satu sepakan penalti pada perlawanan akhir itu sekaligus menghadiahkan trofi kepada Kofu yang mana kelab itu turut menempah tempat di peringkat kumpulan saingan AFC Champions League musim 2023.

Sepanjang dua musim beraksi bersama Kofu, selain membantu kelab tersebut memenangi trofi Emperor’s Cup, Lira turut menjaringkan 18 gol dalam 70 perlawanan.

Setakat ini, skuad bimbingan Nafuzi Zain itu telah menandatangani tiga pemain import iaitu Alan Robertson, Amirbek Jurobaev dan Manny Ott yang musim lalu beraksi bersama Terengganu.

Dari segi pemain tempatan pula, setakat ini Kedah telah berjaya mendapatkan khidmat Kalamullah Al-Hafiz, Fikri Che Soh, Wan Amirul Afiq, Faizal Talib, Zharmien Ashraf, Azrin Afiq, Mior Dani Armin serta pemain naturalisasi iaitu Lee Tuck.

Musim 2023 dianggap sebagai musim untuk Kedah Darul Aman bangkit menjadi salah satu kelab elit dalam saingan Liga Super dimana musim lalu mereka hanya menamatkan saingan di tangga ke-8.

Dalam saingan Piala FA, langkah Kedah terhenti di pusingan kedua dimana mereka tewas kepada Terengganu yang turut muncul sebagai naib juara manakala dalam saingan Piala Malaysia Kedah tewas kepada Negeri Sembilan pada peringkat 16 pasukan terakhir.