Ketua jurulatih National Telecom, Weerayuth Taweegun menganggap banyak perkara yang perlu dilakukan pemain negara, Muhammad Firdaus Zulkefli untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan dalam saingan Liga Futsal Thailand.

Firdaus membuat penampilan sulungnya pada aksi liga selepas diturunkan pada perlawanan bertemu Hongyen Thakam yang menyaksikan pendahulu Liga Futsal Thailand itu menewaskan National Telecom dengan keputusan 3-0.

Beraksi dalam kancah liga yang begitu kompetitif serta mempunyai corak permainan pantas, Firdaus dilihat sedikit bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik seperti kebiasaan pernah ditampilnya.

Weerayuth Taweegun memerhatikan aksi anak buahnya. Kredit Foto: National Telecom FC

Keadaan itu turut diakui Weerayuth yang melihat Firdaus perlu memperbaiki beberapa aspek untuk membolehkannya memberikan impak lebih positif pada perlawanan seterusnya.

“Firdaus masih perlu belajar untuk menghadapi persekitaran atau suasana pertandingan di sini. Ternyata rentak permainan dalam Liga Futsal Thailand sangat berbeza [pantas].”

“Dia juga perlu memperbaiki aspek dalam hantaran bola dengan lebih kemas serta tidak boleh mudah kehilangan penguasaan bola. Ia boleh dikaitkan dengan perasaan teruja mahu pun gementar,” ujar Weerayuth ketika dihubungi wakil Vocket FC.

“Saya menyedari masalah utama yang dihadapi oleh Aus [panggilan mesra Firdaus dalam kalangan rakan sepasukan] ialah dari segi komunikasi. Dia perlu melakukan dengan lebih baik lagi di sini.”

Barisan pemain National Telecom ketika berhadapan Hongyen Thakam. Kredit Foto: National Telecom FC

“Bagaimanapun, saya akan terus memberikannya peluang dan masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan kerana prinsip saya jelas iaitu saya melihat semua pemain adalah sama, tiada ‘superstar’ dalam pasukan ini.”

“Yang paling penting dia dapat melakukan tugasan dengan baik,” tambah Weerayuth lagi.

National Telecom yang kini menghuni tangga ke-10 akan berkunjung ke gelanggang lawan untuk berhadapan pasukan kedudukan kesembilan, Rajabhat Phetchaburi pada 30 Oktober.