Isu pergaduhan antara pemain Thailand dan Indonesia ketika aksi final acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 kelmarin masih menjadi bualan hangat sehingga kini di media sosial.

Terbaharu, seorang wartawan daripada portal bola sepak Thailand, Ta Lao mendedahkan rakaman video yang menunjukkan pemain Indonesia jadi punca sebenar tercetus insiden pergaduhan antara kedua-dua pasukan.

Berdasarkan rakaman tersebut, seorang pemain Indonesia bertindak  berlari ke arah bangku simpanan Thailand sambil meraikan kemenangan mereka walaupun pengadil belum meniup wisel penamat.

Ketika itu, Indonesia mendahului 2-1 dan mereka menyangka perlawanan sudah tamat sebelum Thailand kembali menyamakan kedudukan 2-2 pada minit akhir.

Sejurus selepas Yotsakon Burapha menjaringkan gol penyamaan, keadaan menjadi huru-hara apabila kem Thailand membalas dendam berlari ke arah bangku simpanan Indonesia sekaligus menyebabkan aksi tumbuk-menumbuk berlaku antara pemain dan pegawai pasukan.

Indonesia kemudiannya tidak menunggu lama untuk kembali dihadapan pada minit ke-91 apabila Irfan Jauhari mengambil kesempatan di atas kesilapan Songchai yang gagal mengawal bola dengan baik sekali gus membolehkannya melakukan percubaan lambung menewaskan Soponwit.

Keraian pasukan Indonesia pula mengakibatkan pemain Thailand bertindak balas dan sekali lagi pergaduhan tercetus melibatkan pegawai kedua-dua pasukan.

Dalam perlawanan tersebut, tiga pemain Thailand termasuk Jonathan Khemdee serta seorang pemain Indonesia iaitu Komang Teguh dilayangkan kad merah oleh pengadil ekoran bertindak berlebihan ketika pergaduhan berlaku.

Perlawanan itu juga mencipta rekod baharu dimana sebanyak tujuh kad merah dilayangkan oleh pengadil, satu untuk pemain Indonesia, tiga untuk pemain Thailand dan tiga lagi dilayangkan terhadap pegawai dari kedua-dua pasukan.

Kemenangan ke atas Thailand semalam berjaya menamatkan penantian Indonesia selama 32 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan SEA dimana kali terakhir skuad Garuda memenanginya (juga menewaskan Thailand) adalah pada edisi 1991 di Filipina.

Thailand meraih pingat emas manakala juara pada edisi 2019 iaitu Vietnam pula memenangi pingat gangsa setelah menewaskan Myanmar dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.