Gianluigi Donnarumma boleh dikira mengesahkan secara rasmi perpindahannya ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan menulis warkah perpisahan kepada AC Milan.

Donnarumma baru sahaja memenangi Euro 2020 bersama Itali. Penjaga gol berusia 22 tahun itu juga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Euro 2020 – menjadi penjaga gol pertama memenanginya dalam sejarah Euro.

Donnarumma meninggalkan AC Milan secara percuma selepas memilih untuk tidak melanjutkan kontrak bersama Rossoneri.

Menerusi Instagram beliau, Donnarumma berkata: “Beberapa pilihan sukar dalam hidup, tetapi itu sebahagian daripada proses membesar sebagai seorang lelaki.”

“Sekarang saatnya untuk mengucapkan selamat tinggal, pilihan yang bukan mudah, dan pastinya ‘post’ ini tidak cukup untuk menjelaskannya, bahkan mungkin tidak dapat dijelaskan kerana perasaan yang paling dalam hampir tidak dapat diterjemahkan ke dalam kata-kata,” jelas beliau lagi.

Donnarumma menyatakan bahawa AC Milan akan sentiasa berada di dalam hatinya buat selamanya. Ini kerana beliau bermula dari AC Milan, dan berkembang menjadi penjaga gol no.1 negaranya pada usia yang sangat muda.

“Apa yang dapat saya katakan ialah kadang-kadang ianya betul untuk memilih perubahan, menghadapi cabaran yang berbeza, untuk berkembang, untuk melengkapkan diri sendiri.”

“Saya tiba di AC Milan ketika saya masih muda lagi. Selama 8 tahun saya menyarung jersi ini dengan penuh bangga, kita bertarung, menderita, menang, menangis, gembira, semuanya bersama sama dengan rakan rakan.”

“Saya dengan sepenuh hati, berharap Milan akan berjaya. Perasaan yang mengikat saya dengan warna ini, rasa yang tidak akan dapat dihapuskan oleh jarak dan waktu.”

Donnarumma merupakan salah seorang penjaga gol terbaik di dunia pada ketika ini. Beliau menjadi rebutan banyak kelab. Dan memutuskan untuk menyertai PSG.

Selain dari PSG, Donnarumma sebelum ini kuat dikaitkan dengan Juventus. Namun permintaan gaji mungkin menjadi faktor utama kelab Serie A itu tidak dapat meneruskan usaha untuk membawa Donnarumma.

Baca juga artikel

Rakaman Audio Florentino Perez Kutuk Raul Dan Casillas Sebagai Penipu Terbesar

Man City Beritahu Barcelona Mereka Tak Minat Beli Griezmann

Analisis Taktikal: Mancini Sekolahkan Southgate Secara Total Tentang Pengurusan Taktikal Di Final