Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini mengesahkan bintang muda Malaysia yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal telah menyatakan hasrat untuk mewakili skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) beraksi dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Beliau berkata demikian dalam laporan Bernama hari ini menjelaskan pengendali skuad Malaysia B-23, Datuk Ong Kim Swee telah pun menghubungi pemain itu dan pihaknya sedang membuat persiapan untuk membawanya pulang ke Malaysia.

“Sebelum ini, dia (Wan Kuzain) tidak berminat tetapi baru-baru ini, dia telah menyatakan hasratnya kepada Kim Swee untuk bermain.

“Jadi, kita tengah membuat persiapan untuk membawanya ke Malaysia bagi bermain sama ada untuk pasukan Malaysia (Harimau Malaya) atau B-23 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Kuzain tidak sempat untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia dan UAE bulan ini kerana beberapa proses untuk membawanya pulang mengambil masa yang lama.

“Kerana proses (prosedur untuk membawa dia balik) ada. Jadi, memang tidak sempat.

“Namun, kami akan cuba untuk Sukan SEA kerana dia kini sedang bermain dalam saingan Major League Soccer (MLS) di AS,” tambahnya lagi.

Jika Wan Kuzain menyertai skuad Malaysia B-23, Ong Kim Swee berpeluang membentuk barisan yang mantap untuk digandingkan bersama penyerang prolifik skuad Malaysia B-18, Luqman Hakim Shamsudin dan penyerang JDT, Safawi Rasid.

Selain Wan Kuzain, FAM juga sedang memantau tujuh pemain berdarah kacukan Malaysia di luar negara dalam lingkungan usia 16 hingga 24 tahun untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya pada masa yang akan datang.

“Saya sudah mengadakan perbincangan bersama ejen berkenaan dan boleh mengesahkan tujuh pemain kacukan iaitu lima daripada mereka berusia lingkungan 16 tahun.

“Dua lagi berusia lingkungan 24 tahun dan mereka kini bermain untuk pasukan tertentu di Eropah, namun saya tidak boleh menyatakan identiti mereka sekarang ini.

“Enam daripada pemain berkenaan berdarah campuran Inggeris, manakala seorang lagi Nigeria dan mereka ini sememangnya berbakat dalam bola sepak,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam laporan Harian Metro bulan lalu.

Dalam senarai tujuh pemain berdarah kacukan tersebut, antara pemain yang berpotensi untuk memperkuatkan skuad kebangsaan ialah pemain kacukan England-Malaysia, Jamie Qureshi berusia 16 tahun yang pernah dipilih mewakili skuad England bawah 15 tahun. Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beberapa minggu lalu.

Mungkin anda berminat untuk membaca tentang perkembangan Wan Kuzain Wan Kamal dalam saingan Liga Amerika Syarikat. Klik pautan dibawah.

Wan Kuzain Jaringkan Gol Pertama Dalam Major League Soccer (MLS)

Kelab Major League Soccer, Sporting Kansas City Ikat Wan Kuzain Sehingga Tahun 2020

Sumber