Pemain senior pasukan negara, Aidil Zafuan menegaskan beliau bersedia untuk menampilkan prestasi terbaik pada dua aksi persahabatan meskipun mempunyai minit permainan yang sedikit bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Malaysia.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe hanya membawa tiga pemain pertahanan tengah bagi menghadapi Jordan dan Uzbekistan dan perkara ini nyata melahirkan kebimbangan di kalangan peminat bola sepak tanah air.

“Sepatutnya tiada masalah untuk saya, Irfan Zakaria dan Dominic Tan untuk beraksi dalam kedua-dua perlawanan sekiranya kami tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Memang saya kurang beraksi dalam saingan Liga Malaysia namun saya sentiasa bersedia untuk menampilkan aksi terbaik sekiranya diberi peluang untuk beraksi,” kata Aidil Zafuan.

Tiga lagi pemain pertahanan tengah iaitu Shahrul Nazeem, Dion Johan Cools dan Shahrul Nizam Ros Hasni sepatutnya menyertai pasukan kebangsaan kali ini namun atas beberapa faktor, ketiga-tiga pemain tidak dapat dibawa.

Shahrul Nazeem dan Dion Cools mengalami kecederaan ketika beraksi bersama kelab masing-masing manakala Shahrul Nizam gagal dihubungi ekoran turun ke laut.

Dua perlawanan persahabatan ini merupakan medan terbaik buat Cheng Hoe menilai pemain yang dipanggil kali ini sebagai persiapan awal bagi membentuk skuad terbaik Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 dan seterusnya Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun hadapan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Peluang Dominic Tan Dan Irfan Zakaria Buktikan Kemampuan Kemudi Benteng Harimau Malaya

Dion Johan Cools Minta Peminat Hormati Keputusannya Tidak Sertai Skuad Kebangsaan

Daniel Ting Sasar Sarung Jersi Skuad Kebangsaan Hadapi Piala AFF 2020