Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan pengendali liga, Malaysian Football League (MFL) akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama pihak-pihak yang berkepentingan di Wisma FAM, Kelana Jaya, jam 11.00 pagi esok untuk berbincang mengenai isu penularan wabak coronavirus (Covid -19).

Penularan wabak berkenaan memberi kesan kepada perjalanan Liga Malaysia selepas Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, berkata semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) perlu ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19.

Ia bermakna penganjur acara sukan tempatan dan antarabangsa dinasihatkan untuk menangguhkan semua acara sukan ke satu tempoh yang akan dtetapkan pihak berkuasa.

Justeru itu, keputusan sama ada Liga Malaysia ditangguhkan atau bermain di stadium tanpa penonton akan diketahui pada hari esok selepas mesyuarat FAM bersama MFL.

Setakat ini, Malaysia telah mencatat 149 kes dan 20 kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari Khamis ini menurut sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Wabak Covid-19 yang melanda negara Asia sejak Januari lalu telah mengakibatkan Liga Super China, J-League dan K-League tidak dapat berlangsung seperti biasa berikutan perintah daripada kerajaan untuk melindungi tahap kesihatan pemain dan pegawai pasukan.

Malah, Thailand turut mengambil langkah yang sama dengan menunda Thai League selama 45 hari sehingga situasi wabak Covid-19 kembali pulih.

Kelab dari Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menerima tempiasnya dimana perlawanan AFC Champions League menentang kelab China, Guangzou Evergrande yang sepatutnya dijalankan pada Mac ini ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus sehingga menjejaskan aktiviti bola sepak. 

Beberapa Negara Tolak Jemputan Perlawanan Persahabatan Dengan Malaysia Kerana Coronavirus

RASMI: Saingan Thai League Ditunda Selama 45 Hari Mulai Hari Ini, Cegah Penyebaran COVID-19

Pemain Futsal Wanita Iran Meninggal Dunia Akibat Wabak Coronavirus