Kelab yang beraksi dalam saingan J1 League, Vissel Kobe mahu menambah barisan pemain berstatus bintang dalam pasukan dimana mereka semakin hampir untuk menandatangani bekas pemain pertahanan Barcelona dan Arsenal, Thomas Vermaelen.

Menurut laporan sebuah laman berita tempatan, Kyodo news, Vermaelen kini berada di Kobe bagi berbincang dengan pihak kelab mengenai beberapa perkara termasuk terma dan syarat yang akan diberikan kepada pemain tersebut.

Thomas Vermaelen Belgium

Sumber Gambar: Kyodo News

Vermaelen kini berstatus ejen bebas dan tidak beraksi dengan mana-mana pasukan sejak kontrak beliau bersama Barcelona tamat pada penghujung tahun lalu. Pemain berusia 33 tahun ini menjadi sebahagian daripada skuad Belgium yang menduduki tempat ketiga dalam temasya Piala Dunia tahun lalu.

Selain itu, Vermaelen juga pernah memenangi beberapa kejuaraan utama ketika beraksi bersama Ajax Amsterdam, Arsenal dan Barcelona. Pemain yang boleh beraksi sebagai pertahanan tengah dan juga full back itu membantu Ajax memenangi Eredivisie pada musim 2003/2004 dan KNVB Cup pada 2006/2007.

Thomas Vermaelen

Sumber Gambar: Diario AS

Vermaelen kemudiannya berhijrah ke Arsenal pada 2009 dimana beliau membantu The Gunners memenangi gelaran Piala FA pada musim 2013/2014. Setelah lima musim beraksi di London, Vermaelen kemudiannya menyertai Barcelona dimana beliau telah memenangi empat La Liga, dua Copa Del Rey, satu UEFA Super Cup dan satu FIFA Club World Cup.

Vissel Kobe ketika ini diperkuatkan oleh bekas pemenang Piala Dunia iaitu Andres Iniesta, David Villa dan Lukas Podolski. Pasukan yang dibimbing oleh Thorsten Fink itu sedang menduduki tangga ke-15 dalam saingan J1 League musim 2019.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group