Kelab bola sepak yang dimiliki oleh pengasas syarikat perdagangan elektronik – Rakuten, Vissel Kobe berjaya muncul sebagai kelab yang paling tinggi merekodkan perolehan mereka selepas penyata kewangan dikeluarkan secara rasmi pada 24 Mei 2019 yang lalu.

Berdasarkan penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2018 itu, Vissel Kobe telah mencatatkan jumlah perolehan kira-kira JPY9,724,000,000 atau RM370,960,876 sepanjang tahun 2018.

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan, daripada jumlah perolehan itu, 63.8% merupakan hasil dari penajaan yang diterima oleh pasukan bernilai JPY6,208,000,000 atau RM236,828,992. Angka ini juga merupakan 3 kali ganda lebih besar berbanding purata perolehan dari penajaan yang diterima oleh semua kelab Jepun sepanjang tahun 2018!

vissel kobe

Dari segi kutipan penjualan tiket perlawanan pula, Vissel Kobe hanya mencatakan sekitar perolehan sekitar 8.6% sahaja dengan nilai JPY840,000,000 atau RM32,045,160.

Jika dilihat kepada julah kehadiran penonton ke Noevir Stadium pada musim 2018 untuk perlawanan liga sahaja, jumlahnya adalah 367,716 orang dan purata harga tiket bagi setiap orang adalah sekitar JPY2,280 atau RM87 – satu angka yang normal bagi harga tiket bola di Jepun.

Jumlah Perbelanjaan Vissel Kobe Paling Tinggi Di Jepun

Kontra kepada perolehan yang dicatatkan oleh Vissel Kobe, mereka juga merupakan kelab paling tinggi jumlah perbelanjaan bagi tahun berakhir 31 Disember 2018.

Keseluruhannya, Vissel Kobe telah membelanjakan sekitar JPY8,042,000,000 atau RM306,794,258 musim lalu dengan jumlah pembayaran gaji semua staf adalah perbelanjaan paling tinggi sehingga 55.6% dari jumlah tersebut.

Dengan kehadiran pemain-pemain tersohor dunia dalam pasukan mereka, angka perbelanjaan bagi membayar gaji melonjak tinggi dan bukan sesuatu yang pelik.

Keuntungan Selepas Cukai Paling Tinggi Berbanding Semua Kelab

Berdasarkan penyata kewangan beraudit yang diserahkan kepada JLeague untuk tahun 2018 itu, pihak Vissel Kobe telah membayar cukai sebanyak JPY630,000,000 atau RM24,033,870.

Selepas ditolak dengan jumlah pembayaran cukai RM24 juta itu pun, Vissel Kobe berjaya mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai kira-kira JPY1,052,000,000 atau RM40,132,748!

Angka keuntungan ini adalah terlalu besar jika dibandingkan dengan purata keuntungan yang dicatatkan oleh 18 buah kelab dalam saingan J1 League iaitu JPY69,000,000 atau RM2,632,281 sahaja.

vissel kobe

Ini bermakna Vissel Kobe mencatatkan keuntungan bersih 15 kali ganda lebih besar daripada purata keuntungan untuk semua pasukan dalam saingan bola sepak hierarki tertinggi Jepun.

Mesej yang boleh kita ambil cakna disini adalah pihak Vissel Kobe telah berbelanja dalam KADAR KEMAMPUAN mereka walaupun jika diperhatikan sebenarnya angka perbelanjaan mereka adalah juga yang paling tinggi.

Adakah mereka patuh FFP?

Perlu diingatkan juga, dalam saingan JLeague, mana-mana pasukan yang mencatatkan kerugian selama 3 tahun berturut-turut akan DILUCUTKAN keahlian JLeague dan perlu beraksi dalam saingan amatur divisyen 4 serta memohon semula status keahlian JLeague.

Sebagai informasi tambahan, anda boleh juga baca bagaimana kelab divisyen 3 Jepun ini mencatatkan keuntungan RM423,211 pada musim 2018.