Badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan perlawanan di antara Melaka dan PKNS FC yang dijadual berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada malam esok (12 Julai 2019) telah ditunda pada 16 Julai 2019.

Menurut kenyataan rasmi, penundaan perlawanan Liga Super minggu ke-20 itu dibuat atas faktor masalah kesihatan, keselamatan dan kesukanan.

“Keputusan itu dicapai oleh MFL selepas menerima permohonan penundaan perlawanan minggu daripada PKNS FC yang turut mengemukakan laporan penuh doktor perubatan hari ini apabila seramai lapan pemain mereka telah disahkan dijangkiti virus influenza.

“PKNS FC menjadi pasukan kedua yang menyaksikan pemain-pemain utama mereka dijangkiti virus influenza selepas perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu PJ City FC yang sepatutnya berlangsung pada semalam di Stadium Tan Sri Dato HJ Hassan Yunos Larkin turut ditunda gara-gara berdepan situasi sama seperti PKNS FC,” kata kenyataan tersebut.

Justeru, MFL bersetuju untuk tidak meneruskan perlawanan disebabkan bimbang virus influenza yang merupakan sejenis penyakit berjangkit melalui saluran pernafasan disebabkan sesuatu virus, akan memberikan impak negatif kepada persekitaran perlawanan itu jika aksi itu diteruskan.

Ini kerana virus Influenza bukan sahaja memberikan risiko tinggi kepada pasukan pelawat malah dikhuatiri orang ramai turut terdedah kepada jangkitan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Melaka FA, Farhan Ibrahim mengakui keputusan yang dibuat MFL itu tepat dalam usaha membasmi virus influenza merebak sekali gus mengelak impak negatif kepada persekitaran khususnya kepada penonton yang hadir ke stadium.

“Kami sentiasa menghormati keputusan MFL untuk menangguhkan perlawanan kerana jangkitan virus influenza adalah satu perkara yang serius.

“Apa yang pasti, Melaka FA sentiasa mendoakan pemain-pemain PKNS FC akan kembali pulih serta cergas seperti sedia kala dan saya berharap mereka akan dapat mengharungi detik sukar ini dengan tabah,” katanya.

Sumber